Khamis, 21 September 2017

Tugas berat jumpa Syria malam ini -- Kelayakan bola sepak Sukan Olimpik 2008



 
ARKIB : 28/02/2007
Tugas berat jumpa Syria malam ini -- Kelayakan bola sepak Sukan Olimpik 2008

Oleh AMRAN MULUP
Kunci utama... Penjaga gol skuad Olimpik Kebangsaan, Syed Adney Syed Hussain memikul tanggungjawab besar menjaga gawang Malaysia daripada bolos pada malam ini.

KUALA LUMPUR – Selepas gagal di Sukan Asia Doha dan Piala AFF Januari lalu, tumpuan kini diberikan kepada skuad bola sepak bawah 23 yang membuka kempen pusingan kelayakan Olimpik 2008 Kumpulan B secara timbal balik bermula hari ini.

Ujian awal skuad bimbingan B. Sathianathan (gambar) ialah menentang Syria di Damsyik pada pukul 8 malam ini (12 tengah malam waktu Malaysia).

Matlamat utama skuad Olimpik negara ialah memburu dua tempat teratas dalam kumpulan B yang akan layak secara automatik ke pusingan ketiga.

Selain Syria, ujian getir skuad Olimpik negara turut berdepan dengan pasukan pilihan, Jepun selain Hong Kong dalam kumpulan yang sama.

Dua tempat teratas kumpulan B menjadi buruan untuk mara pusingan ketiga dan mengisi salah satu daripada 12 tempat ke pusingan akhir yang akan dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Tiga pasukan yang menjuarai setiap kumpulan pada pusingan akhir Zon Asia yang dijadualkan berlangsung November ini, akan layak beraksi di Sukan Olimpik Beijing 2008.

Sukar untuk meramalkan keupayaan anak didik Sathianathan buat mengulangi pencapaian terbaik skuad bola sepak kebangsaan yang pernah layak ke Sukan Olimpik Munich 1976 dan Moscow pada 1980.

Tanpa sebarang harapan yang terlalu menggunung diletakan ke atas skuad Olimpik negara untuk mendominasi kumpulan B apa lagi kehadiran gergasi bola sepak Asia, Jepun yang menjadi pilihan untuk layak ke Beijing pada 2008.

Namun, masih ada ruang buat skuad Olimpik negara untuk sekurang-kurangnya merebut tangga kedua sambil mengandaikan Jepun bakal mendominasi Kumpulan B.

Apa yang penting, skuad Olimpik negara perlu menewaskan Syria malam ini atau setidak-tidaknya mengikat dengan keputusan seri kerana selepas itu, anak didik Sathianathan akan menanti kunjungan lawan di tempat sendiri pada 18 April ini.

Melihat reputasi semasa anak didik Sathianathan sememangnya tidak banyak yang dibanggakan rentetan beberapa perlawanan persahabatan yang diatur di dalam dan luar negara.

Biar pun begitu pertemuan dengan Syria di Damsyik malam ini akan menjadi penentu hala tuju sebenar sejauh mana mereka mampu melangkah.

‘‘Benteng pertahanan kita cukup ampuh dan ini menjadi senjata utama apabila berdepan Syria nanti,’’ ujar Sathianathan sewaktu berada di Qatar dua hari lalu.

Sejauh mana kebenaran kata-kata jurulatih itu hanya akan diketahui malam ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tKnuZLiC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan