Khamis, 21 September 2017

Jumpa Syria tetap sukar



ARKIB : 21/02/2007

KUALA LUMPUR – Skuad Olimpik Malaysia akan berlepas ke Timur Tengah minggu ini bagi mengharungi kempen kelayakan bola sepak Olimpik 2008 yang dianggap sebagai tugas yang sukar.

Berdasarkan persediaan sejak beberapa bulan lepas, dengan pasukan negara bermain hanya tujuh perlawanan antarabangsa, ketua jurulatih B. Sathianathan nyata agak bimbang dengan kempen kelayakan itu, terutama dalam pertemuan dengan Syria pada 27 Februari.

‘‘Persediaan tidak sempurna - beberapa perlawanan menentang Oman dan Australia dibatalkan. Saya mahukan lebih banyak perlawanan namun akibat kekangan, kini hanya ada satu lagi perlawanan (menentang Qatar pada 24 Februari) sebelum menentang Syria,” kata Sathianathan.

Meskipun pasukan Olimpik negara mempamerkan aksi menarik dan mengikat Liga Singapura, Geylang United dengan keputusan seri tanpa jaringan minggu lepas, ia tidak melegakan Sathianathan.

‘‘Pada masa ini, pertahanan pasukan ini agak mantap meskipun seperti yang saya sebut dulu, barisan depan perlu terus meningkat,” katanya dipetik berkata dalam laman web Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sepanjang persiapan menghadapi kelayakan Olimpik, skuad negara berlepas ke Afrika tahun lepas dan pertemuan dengan pasukan Olimpik Afrika Selatan menyaksikan keputusan seri 0-0 pada perlawanan pertama sebelum tewas 0-3 dalam pertemuan kedua.

Pada Grand Royal 2006 Challenge Cup di Mandalay, pasukan Olimpik Malaysia tewas 0-1 kepada pasukan bawah 23 Myanmar, namun mereka menang 1-0 ke atas pasukan kebangsaan Myanmar serta seri 1-1 dengan pasukan bawah 23 Indonesia.

Pada kejohanan SHBank Cup, pasukan negara tewas 0-4 ke atas pasukan kebangsaan Vietnam serta terikat tanpa jaringan dalam pertemuan dengan pasukan Olimpik Thailand.

Bagi lawatan ke Timur Tengah, Sathianathan meletakkan harapan ke atas Safiq Rahim dan Samransak Kram.

‘‘Sekali pun gol dijaringkan oleh pemain tengah atau pertahanan, saya sangat gembira. Oleh itu kami perlu berusaha menajamkan serangan di depan gol,” katanya.

Bagi pusingan kedua kelayakan Olimpik 2008, Malaysia disenaraikan dalam Kumpulan B bersama-sama Syria, Jepun dan Hong Kong.

Pasukan itu berlepas ke Qatar pada 22 Februari.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tKStAjhD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan