ARKIB : 20/03/2007
NORIZAN Bakar (kanan) memantau
latihan skuad bola sepak kebangsaan di padang FAM, Kelana Jaya, semalam.
KUALA LUMPUR Tiada layanan
kelas bintang dan semua pemain perlu bersaing bagi merebut tempat dalam kesebelasan
pasukan jika mahu beraksi pada Piala Asia, itu amaran jurulatih kebangsaan,
Norizan Bakar pada sesi latihan pertama skuad bola sepak negara di Wisma FAM,
semalam.
Seramai 16 daripada 20 pemain
melapor diri untuk latihan singkat menjelang perlawanan persahabatan di Sri
Lanka dari 22 hingga 26 Mac ini.
Ketika ditanya mengapa ada
pemain yang dianggap bintang, hilang dalam senarai pada ketika skuad kehilangan
penyerang utama, Hairuddin Omar, Norizan menegaskan, beliau hanya memilih
pemain yang terbaik untuk pasukan.
Saya tidak pernah memilih bintang
untuk membentuk pasukan, yang penting prestasi. Sama ada pemain itu bintang
atau bukan, dia tetap perlu bersaing jika mahu meraih tempat dalam skuad dan
kesebelasan, tegas Norizan.
Kata Norizan, dua aksi
persahabatan di Sri Lanka akan digunakan untuk mencari keserasian.
Katanya, meskipun ada pihak
yang mengatakan Sri Lanka bukan medan terbaik untuk menguji skuad berbanding
Australia memilih Argentina, jurulatih itu punya alasan tersendiri.
Ini merupakan peringkat
pertengahan latihan, tak akan tiba-tiba kita hendak menentang pasukan besar, ia
akan memberi kejutan. Sekarang adalah masa mencari keserasian.
Mungkin kita akan mengadakan
beberapa perlawanan di Korea Selatan atau Jepun pada Mei ini bagi peringkat
latihan yang lebih insentif apabila Piala Asia sudah semakin hampir, katanya.
Sementara itu, Muhammad Shukor
Adan dan K. Nanthakumar menarik diri daripada barisan ke Sri Lanka kerana
masalah peribadi, manakala dua pemain NS Naza, Rezal Zambery Yahya dan penjaga
gol, Azizon Kadir akan menyertai skuad kebangsaan sejurus kembali dari
Maldives.
Pada pusingan akhir Julai ini,
Malaysia dalam Kumpulan C bersama Uzbekistan, Iran dan China.
SKUAD KEBANGSAAN: Syamsuri
Mustafa (Terengganu), Azizon Kadir (NS Naza); Mohd. Fadzli Saari (Selangor);
Mohd. Nor Farhan Muhammad, Norfadzly Alias (Terengganu); R. Surendren (Perak);
Norhafiz Zamani Misbah (Pahang); Fauzi Nan, Azlan Ismail (Perlis); Muhamad
Kaironnisam Sahabuddin, Muhamad Nizaruddin Yusof (UPB/My Team); Rezal Zambery
Yahya (NS Naza), V. Thirumurugan (Kedah), Rudie Ramli, Mohd. Hardi Jaafar
(Telekom), Eddy Helmi Manan (Johor FC); Mohd. Hamzani Omar (Johor Pasir Gudang)
dan Roony Harun (Sabah).
SUBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tPYamcrb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan