ARKIB : 04/05/2007
KUANTAN Penyerang Pahang,
Hairuddin Omar mengikuti jejak pemain pertahanan, Norhafiz Zamani Misbah untuk
menyertai skuad bola sepak negara selepas namanya tersenarai dalam siri
kunjungan ke Australia dari 7 hingga 25 Mei ini, lapor SHAMSIAH ZULKAFLI.
Ketiadaan dua pemain utama
skuad Tok Gajah itu nyata meresahkan jurulatihnya, Ahmad Yusof kerana cabaran
Pahang selepas ini akan digalas oleh pemain-pemain muda.
Hairuddin ketika dihubungi di sini,
semalam berkata, dia menerima panggilan menyertai skuad kebangsaan itu pagi
semalam, hanya beraksi dalam dua perlawanan bersama Pahang sebelum ini selepas
pulih dari kecederaan lutut yang dialaminya.
Pada mulanya, saya sangat
terkejut dengan pemilihan itu, namun saya yakin ia akan menambahkan lagi
semangat saya untuk mempamerkan aksi terbaik.
Lebih-lebih lagi, saya
terpilih untuk menyertai skuad kebangsaan hanya selepas beraksi dalam dua
perlawanan, kata beliau ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya, dia berazam untuk
membalas kepercayaan jurulatih pasukan kebangsaan yang menyenaraikan namanya
kali ini.
Perlawanan Piala Malaysia
bertemu Sabah di Stadium Likas, malam Sabtu ini akan menjadi perlawanan
terakhir Hairuddin mewakili Pahang, selepas turun dalam dua perlawanan sebelum
ini ketika menentang Perak pada Sabtu lalu dan Negeri Sembilan Naza.
Walaupun setelah berehat selama
dua bulan akibat kecederaan lututnya, aksi Hairuddin pada perlawanan pertamanya
ketika menentang Perak Sabtu lalu, begitu meyakinkan setelah menjaringkan satu
gol dalam perlawanan yang mengikat Perak dengan keputusan 2-2.
Hairuddin turut beraksi
cemerlang pada Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Singapura hujung
Januari lalu, setelah menyumbatkan dua gol ketika membelasah Filipina 4-0 dalam
saingan peringkat kumpulan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tYlGq0uF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan