ARKIB : 10/01/2007
Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR Penjaga gol muda
Perak, Nasril Nourdin menjadi pemain tunggal yang digugurkan daripada skuad
bola sepak kebangsaan yang akan berlepas ke Bangkok tengahari ini bagi
menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala AFF.
Pengguguran Nasril sudah diduga
sejak awal kerana dia tidak berupaya menandingi kelibat dua penjaga gol
berpengalaman, Syamsuri Mustafa dan Azizon Kadir yang bakal menjadi benteng
terakhir kubu skuad kebangsaan.
Skuad 22 pemain yang berlepas
hari ini sekadar mahu mempamerkan aksi menarik dan tidak mahu senasib dengan
skuad bawah 20 tahun dan pasukan Sukan Asia Doha yang pulang awal sebelum
kejohanan berakhir.
Tanpa sebarang sasaran utama
disematkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kejohanan Piala AFF
kali ini, peminat dan pemerhati bola sepak mahu skuad yang dilatih jurulatih
Norizan Bakar dapat menyuntik sesuatu yang menyakinkan.
Kalah di peringkat kumpulan dan
pulang awal, pastinya musibah bakal dilontarkan oleh peminat dan pemerhati
kepada FAM.
Persiapan skuad kebangsaan kali
ini tampak tempang dengan tempoh 10 hari menjalani latihan dan tidak ada
satupun perlawanan persahabatan dapat diatur untuk menguji kekuatan sebenar
anak didik Norizan.
Melihat skuad kali ini juga
kurang menyakinkan tanpa gandingan jentera serangan ampuh ekoran ketiadaan
Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Safee Sali yang ditimpa
kecederaan.
Lantaran itu, Norizan membuat
percaturan bahagian tengah bakal dikemudi oleh Hairuddin Omar, Mohd. Fadzli
Saari, Shukor Adan, Eddy Helmi Manan, Norhafiz Misbah dan K. Nanthakumar dapat
memainkan peranan selaku penjaring gol.
Saya mengharapkan skuad kali
ini akan beraksi cemerlang dan dapat mempamerkan persembahan paling mantap.
Saya tidak meletakkan
sebarang sasaran untuk mara ke perlawanan akhir tetapi apa yang penting mereka
(pemain) dapat mempamerkan sesuatu yang lebih menyakinkan, ujar Norizan
ringkas.
Sandaran kepada pemain veteran,
Nizaruddin Yusof dan Saramsak Kram untuk mengemudi jentera serangan kerana
hanya mereka berdua pemain berstatus penyerang yang berada dalam skuad 22
pemain kali ini.
Selebihnya barisan pemain skuad
kebangsaan dipenuhi pemain tengah dan pertahanan.
Tugas buat anak didik Norizan
dianggap menyulitkan apabila bersaing dengan tuan rumah Thailand, skuad yang
mara ke suku akhir Sukan Asia Doha selain berdepan Myanmar yang masih segar
dengan kemenangan di Pestabola Merdeka, malah terbaru mereka menjulang Piala
Mandalay.
Ujian awal anak didik Norizan
dalam perlawanan pertama Jumaat ini ialah berdepan pasukan yang dianggap lemah,
Filipina di Stadium Suphachalasai.
Selepas itu, skuad kebangsaan
berdepan dengan Myanmar pada 14 Januari ini dan perlawanan terakhir ujian getir
menanti apabila bertemu Thailand pada 16 Januari.
Kumpulan B pula dibarisi oleh
Vietnam, Indonesia, Singapura dan Laos.
Barisan Pemain
Muhammad Shukor Adan, Mohd
Fadzli Saari, Safiq Rahim, Mohamad Syamsuri Mustafa, Chan Wing Hoong, K.
Nanthakumar, Irwan Fadzli Idrus, Hairuddin Omar, Norhafiz Zamani Misbah, Azi
Shahril Azmi, Fauzi Nan, Azizi Mat Rose, Muhamad Kaironnisam Sahabuddin,
Muhamad Nizarudin Yusof, Azizon Kadir, Rezal Zambery Yahya, V. Thirumurugan,
Samransak Kram, Muhamad Khyril Muhymeen Zambri, Hardi Jaafar, Eddi Helmi Abdul
Manan, Ronny Harun.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4sZPMSJig
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan