Sabtu, 23 September 2017

Malaysia jumpa MU 27 Julai diteruskan



ARKIB : 26/04/2007
Oleh AIZAWATI AHMAD

KUANTAN – Pertemuan antara pasukan pilihan Malaysia menentang kelab bola sepak Liga Perdana England, Manchester United yang dijadualkan pada 27 Julai ini bersempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara akan tetap diteruskan walaupun pada masa yang sama berlangsungnya kejohanan Piala Asia 2007.

Sekalipun menerima tentangan daripada Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), pertemuan tersebut nampaknya akan tetap diadakan kerana ia dianjurkan oleh sebuah syarikat swasta dan mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan.

Timbalan Persiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, FAM tidak terbabit kerana perlawanan itu dianjurkan oleh pihak lain dan bukannya FAM sendiri.

‘‘Kami (FAM) hanya membantu dari segi logistik dan mengenai penganjurannya pula, FAM sama sekali tidak terlibat, saya amat berharap AFC dapat memahami situasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Upacara Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Bayaran Zakat serta Agihan Zakat, di sini semalam.

Skuad kebangsaan bimbingan jurulatih, Norizan Bakar yang diletakkan di dalam Kumpulan C bersama-sama Iran, China dan Uzbekistan terlibat pada kejohanan Piala Asia 2007 yang bermula 7 hingga 29 Julai ini.

Tengku Abdullah turut memberi jaminan bahawa perlawanan antara United dan pasukan pilihan Malaysia tidak akan menjejaskan sama sekali sambutan Piala Asia ekoran perlawanan terakhir yang akan diadakan di Kuala Lumpur ialah pada 25 Julai.

‘‘Kami amat berharap AFC memahami aspirasi rakyat Malaysia dan hasrat kerajaan untuk memeriahkan lagi sambutan 50 tahun kemerdekaan negara yang datang sekali seumur hidup,” tegasnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tYPTT0Q1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan