ARKIB : 06/01/2007
Norizan temui trio idaman
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
(DARI kiri) K. Nanthakumar dan
Hairuddin Omar menjalani latihan bersama-sama Irwan Fadli Idrus bagi menghadapi
Kejohanan AFF di Wisma FAM, Kelana Jaya, baru-baru ini. Gambar HAFIZ JOHARI.
PETALING JAYA Tiga pemain
yang mempunyai rembatan deras bakal menjadi sandaran jurulatih Norizan Bakar
dalam menyudahkan sepakan bebas terutama posisi yang mampu menghasilkan gol
pada Kejohanan AFF mulai 12 Januari ini.
Irwan Fadli Idrus, Shukor Adan
dan Hardi Jaafar yang beberapa kali menjaringkan gol menerusi sepakan deras
sekalipun dari jarak jauh di arena tempatan mahupun antarabangsa, merupakan
antara calon dalam senarai 23 pelatih negara yang berkelayakan untuk
menunaikannya.
Pada 27 Disember lalu, Irwan
Fadli menceriakan Pahang dengan sepakan jarak jauhnya untuk menewaskan Telekom
Melaka selain pernah menggunakan sepakan bebas yang melencong untuk membenam
Indonesia pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.
Sepakan Shukor tidak kurang
hebatnya. Tiga tahun lalu, rembatan voli derasnya pernah memukau penjaga gol
Bahrain pada perlawanan Kelayakan Piala Asia sekaligus membawa Malaysia
mengikat 2-2 dengan pasukan handalan Asia Barat itu.
Jaringan Hardi menerusi sepakan
percuma yang deras pada jarak lebih 20 meter ke atas China turut wajar diakui
sebagai antara yang tercantik sepanjang Sukan Asia Doha, bulan lalu sekalipun
skuad bawah 23 tahun negara akhirnya kalah 3-1.
Sesudah seminggu bertumpu
kepada kecergasan dan pemulihan fizikal, sesi latihan terbaru Norizan di Wisma
FAM, Kelana Jaya mulai memfokuskan set-piece sepakan percuma dan rembatan ke
gawang menjelang persaingan Kumpulan A di Bangkok kelak.
Pemain yang sudah biasa dengan
peranan itu ketika mewakili pasukan liga, akan dikekalkan dan digilap lagi
dalam sesi latihan. Menukar mereka dan menggantikan dengan yang baru mungkin
hanya akan menjejaskan perancangan, kata Norizan kepada Utusan Malaysia,
semalam.
Baginya, walau sesiapa pun yang
digalaskan tugas itu, perlu menunaikannya dengan baik untuk pasukan dan negara,
bukannya demi kepuasan peribadi kerana bola sepak masih sebuah permainan berpasukan
dan melibatkan kombinasi seunit.
Menurut Norizan, dari segi
posisi pemain juga, beliau tidak berhasrat merombaknya selagi mereka mampu
menepati keperluan pasukan dan keadaan satu demi satu perlawanan yang bakal
dihadapi skuad kebangsaan di Stadium Supachalasai, Bangkok itu.
Beliau turut mengakui
pencapaian di peringkat antarabangsa sepanjang tahun lalu tidak begitu
menyebelahi skuad bimbingannya tetapi ia tidak bererti mereka telah menyerah
mudah sepanjang perjuangan di atas padang.
Dalam Pestabola Merdeka, saya
dapat maklum balas bahawa skuad negara bermain dengan baik tetapi keputusan
masih tidak berpihak dengan kami. Begitu juga di Doha, kami main habis-habisan
malah tiada siapa pun mahu kalah semua perlawanan.
Saya percaya, skuad kali ini
masih merupakan yang terbaik dapat dikumpulkan dan dipertaruhkan oleh Malaysia
bagi Kejohanan AFF, katanya yang melatih pasukan kebangsaan dan Bawah 23 Tahun
sejak Sukan SEA ke-23 di Filipina, November 2005.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sNB7WYiR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan