Rabu, 20 September 2017

Bola sepak tunjuk petanda positif



 Bojan HODAK (kiri) mempunyai pemain yang sentiasa mengikut perancangannya
BOJAN HODAK (kiri) mempunyai pemain yang sentiasa mengikut perancangannya untuk menghadapi Thailand dalam final Kejohanan AFF B-18 di Stadium Thuwunna, Yangon, hari ini.

Aizawati Ahmad
17 September 2017 3:00 AM

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Keputusan baik yang dipamerkan oleh pasukan bola sepak bawah 19 (B-19) dan bawah 22 (B-22) pada pertandingan yang disertai mereka, baru-baru ini, telah memberi petanda positif kepada masa depan sukan tersebut untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, skuad B-19 tahun yang diterajui Bojan Hodak telah berjaya mara ke perlawanan akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18, manakala pasukan B-22 yang dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee juga melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak B-19 yang telahpun layak ke perlawanan akhir Kejohanan AFF B-18. Kalau kita tengok dari segi kejayaan pasukan muda kita, terutamanya pasukan B-22 layak ke Piala AFC B-23 dan merangkul pingat perak Sukan SEA.

“Ini membuktikan bahawa perubahan yang dibawa di bawah kepemimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mula membuahkan hasil dan ini satu perkembangan yang sangat positif dan perlu diberi sokongan. Sebab saya percaya FAM sekarang ini melihat kepada lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu mengadakan lawatan terakhir di Bukit Jalil di sini hari ini menjelang Sukan Para ASEAN yang akan membuka tirai temasya, esok.

Menurut Khairy, selain skuad bimbingan Kim Swee dan Hodak, Malaysia memiliki sebuah lagi pasukan yang berada di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) kendalian Lim Tiong Kim.

“Sekiranya bakat-bakat muda ini dijaga dengan baik iaitu pasukan Kim Swee, Hodak dan Tiong Kim, masa depan bola sepak Malaysia cerah.

“Cuma kena kekalkan momentum, pastikan pemain dapat pengalaman dalam liga tempatan, serantau dan liga antarabangsa,” ujarnya. “Saya rasa bangga sebab ada banyak pasukan serantau mula menunjuk minat terhadap barisan pemain negara yang beraksi dalam Sukan SEA lalu.

“Saya rasa penting untuk mereka menceburi ataupun memajukan kerjaya bola sepak bukan hanya di sini, tetapi di luar negara terutama dengan kelab-kelab yang besar di Asia Tenggara, benua Asia dan mungkin kalau ada peluang di Eropah.

“Kalau dapat meningkatkan kebolehan pemain, saya rasa skuad senior mampu menjadi pasukan digeruni dalam lima tahun akan datang,” katanya.

sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/bola-sepak-tunjuk-petanda-positif-1.527391#ixzz4tDNUuQ00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan