Jumaat, 8 September 2017

Tawaran kelab lain hanya khabar angin - Thana



Sabtu, 9 September 2017 | 11:13am
 
SHAH ALAM 26 AUGUST 2017. GAMBAR fail, N. Thanabalan (dua dari kanan) meraikan gol ketika menentang Indonesia pada perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan Sea KL2017 di Stadium Shah Alam 26 Ogos lalu. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Tawaran kelab lain hanya khabar angin - Thana
Oleh Haika Khazi
mfaizul@bh.com.my  

KUALA LUMPUR: Penyerang FELCRA FC, N Thanabalan berkata dia belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana pasukan yang dikatakan berminat menggunakan khidmatnya pada musim depan.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Negeri Sembilan yang menyumbang empat gol dalam enam penampilan sulungnya di Sukan SEA 2017 itu menegaskan, sehingga kini semua tawaran berkenaan lebih bersifat khabar angin semata-mata.

"Setakat ini memang banyak orang bercerita kata kelab ini dan itu mahu ambil saya bermain dengan mereka tetapi sehingga sekarang tiada tawaran rasmi diterima oleh saya.

"Saya pun tidak pasti sama ada kelab terbabit memang betul-betul berminat mahu saya bermain dengan mereka.

"Walaupun belum membuat keputusan muktamad, kalau boleh saya mahu kekal bersama FELCRA FC jika kami berjaya layak ke Liga Perdana pada musim depan," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Thanabalan berkata demikian ketika mengulas laporan media bahawa banyak kelab tempatan dan luar negara berminat mendapat khidmatnya selepas tempoh pinjamannya kepada FELCRA FC dari Negeri Sembilan tamat pada akhir musim ini.

Justeru, Thanabalan menegaskan FELCRA FC perlu menang perlawanan peringkat suku akhir pada 19 September ini dan seterusnya bergelar juara Piala FAM, sekali gus mencerahkan peluang mereka layak ke di Liga Perdana, musim depan.

Bagaimanapun, Thanabalan tidak menolak kemungkinan beliau mungkin terpaksa berhijrah ke pasukan lain sekiranya FELCRA FC gagal layak ke Liga Perdana.

"Jika FELCRA FC tidak berjaya layak ke Liga Perdana saya terpaksa juga bermain untuk kelab atau pasukan lain di Liga Perdana atau Liga Super.

"Ini perlu bagi membolehkan saya bermain di peringkat lebih tinggi dan mencipta peluang bermain dengan skuad Harimau Malaya yang sememangnya diidamkan oleh saya.

"Jika saya terus kekal bersama FELCRA FC biarpun kelab ini gagal layak ke Liga Perdana, bermakna saya tidak layak bermain dengan pasukan senior kebangsaan.

"Sebab itulah saya akan mahu sangat FELCRA FC layak ke Liga Perdana bagi membolehkan saya terus mengasah bakat dan menimba pengalaman mereka.

"Jika FELCRA FC layak ke tahap lebih tinggi berbanding sekarang, buat apa saya berpindah ke kelab lain di Liga Super atau Liga Perdana tetapi tidak dapat diturunkan kerana ada ramai pemain import atau tempatan lebih senior di sana," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 9 September 2017 | 11:13am

Tiada ulasan:

Catat Ulasan