Sabtu, 16 September 2017

Norizan ceria ke Singapura - Walaupun laluan ke final masih berliku buat Malaysia



ARKIB : 25/01/2007
Oleh: AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR – Keputusan seri 1-1 kelmarin, tidak mengundang rasa gelisah dan gentar buat skuad bola sepak kebangsaan, sebaliknya tampak yakin untuk menewaskan penyandang juara Singapura di Stadium Nasional, Sabtu ini.

Saingan separuh akhir kedua Kejohanan Bola Sepak ASEAN dianggap menjadi kelebihan kepada Singapura bermain di tempat sendiri, namun jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar nyata tidak bimbang dengan situasi itu.

‘‘Jika itulah corak permainan yang ditunjukkan oleh pemain saya ketika seri 1-1 dengan Singapura di Stadium Shah Alam kelmarin, saya lebih yakin peluang kita untuk menang dan layak ke akhir adalah cerah.

‘‘Saya akui Singapura mempunyai kelebihan bermain di tempat mereka tetapi jika melihat pemain saya bermain kelmarin kita mampu memadamkan kelebihan milik Singapura.

‘‘Apa pun saya gembira dengan corak persembahan di luar jangkaan saya mereka menguasai sebahagian besar permainan dengan corak menyerang dan tidak bertahan.

‘‘Cuma agak mengecewakan saya kerana kealpaan benteng pertahanan membolehkan pemain lawan, Mohd. Noh Alam Shah menjaringkan gol mudah,’’ katanya, semalam.

Malaysia mempamerkan aksi paling menarik dan cukup menyakinkan walaupun hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 pada saingan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Gawang lawan digegarkan menerusi sepakan lencong kaki kiri Muhammad Hardi Jaafar yang menerjah penjuru kanan jaring pada minit ke-57 tetapi gol itu dipadamkan oleh jaringan penyamaan Mohd. Noh ketika perlawanan berbaki 17 minit hendak ditamatkan.

Mengulas lanjut, Norizan mengakui keputusan seri tersebut adalah laluan berliku buat skuad kebangsaan untuk memburu tempat ke perlawanan akhir.

Namun, beliau mempunyai keyakinan jika corak persembahan yang dipamerkan itu dapat dikekalkan di Stadium Nasional Sabtu ini, peluang untuk menang adalah cerah.

“Peluang kami masih ada walaupun akan beraksi di Singapura dan saya tidak fikir pemain akan melepaskan peluang keemasan untuk mencatatkan kemenangan.

“Biarpun sekadar mencatat keputusan seri tetapi kami mempunyai perasaan positif pergi ke Singapura adalah semata-mata untuk menang dan tidak langsung gerun kelebihan yang ada pada Singapura,’’ kata Norizan.

Aksi Malaysia jelas memikat kira-kira 35,000 penonton dengan penguasaan bahagian tengah yang dibarisi oleh Muhammad Shukor Adan, Muhammad Hardi Jaafar, K. Nanthakumar dan Eddy Helmi Manan bijak mencipta banyak peluang di hadapan pintu gol Singapura sejak permulaan permainan.

Cuma peluang silih berganti itu dihampakan ketumpulan jentera serangan yang gagal menepati sasaran selain hantaran di depan pintu gol lewat diterpa oleh gandingan serangan Mohd. Nizaruddin Yusof dan Hairuddin Omar.

Buat Norizan, beliau tidak akan membuat sebarang rombakan ke atas kesebelasan utama sebaliknya menyandarkan harapan kepada barisan pemain yang sama berdepan Singapura.

Lebih menceriakan jurulatih itu ialah mendapat perkhabaran gembira apabila tidak ada seorang pun antara mereka ditimpa kecederaan yang serius.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4spNOrxkZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan