Jumaat, 29 September 2017

6 pemain Olimpik perkuatkan skuad Piala Asia



ARKIB : 02/06/2007
6 pemain Olimpik perkuatkan skuad Piala Asia

KUALA LUMPUR - Enam pemain skuad Olimpik dipanggil memantapkan lagi pasukan bola sepak kebangsaan menjalani latihan fasa terakhir bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia berlangsung bulan depan.

Mereka yang dipanggil ialah Syed Adney Syed Hussain, Amirulhadi Zainal Abidin, Azi Shahril Azmi, S. Subramaniam, Muhammad Aidil Zafuan dan Muhammad Khyril Muhymeen.

Kehadiran enam pemain itu dijangka dapat memperkuatkan skuad bimbingan Norizan Bakar selepas aksi kurang memberangsangkan sewaktu sesi latihan di Australia, baru-baru ini.

Keputusan di Australia tidak begitu menyakinkan selepas tewas 2-0 kepada Sydney FC, 3-0 bertemu kelab Central Coast Marina FC dan tunduk 1-0 kepada Bankstown FC.

Turut dipanggil untuk memperkuatkan skuad kebangsaan yang akan memulakan kempen pertama menentang China pada 10 Julai ialah dua pemain Pahang, Indra Putra Mahayuddin dan Rosdi Talib.

Kedua-dua pemain itu kali terakhir mewakili skuad kebangsaan pada pertandingan Pesta Bola Merdeka, tahun lalu.

Kehadiran kedua-dua pemain itu bersama enam anggota skuad Olimpik melengkapkan senarai 30 pemain kini yang akan menjalani latihan terakhir dari 7 hingga 15 Jun, di Pulau Pinang.

Sekembalinya daripada latihan di Pulau Pinang, skuad kebangsaan akan berada di Kuala Lumpur untuk menghadapi satu perlawanan persahabatan menentang Amiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 21 Jun ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4u8CQBrov
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan