ARKIB : 20/01/2007
Oleh: AMRAN MULUP
NORIZAN Bakar (kiri)
memerhatikan anak-anak buahnya menjalani latihan di Stadium Shah Alam, semalam
menjelang pertemuan menentang Singapura pada separuh akhir pertama Piala AFF,
Selasa ini. Gambar AHMAD ZAKKI JILAN.
SHAH ALAM Biar apa pun
telahan dan ramalan betapa penyandang juara, Singapura dianggap memiliki
kelebihan, namun Malaysia mampu membuat kejutan untuk menewaskan lawan.
Lebih-lebih lagi Singapura
bukanlah lawan yang terlalu asing malah kekuatan pasukan dari seberang tambak
itu dilihat seimbang dengan kekuatan skuad bola sepak kebangsaan.
Hanya bezanya, Singapura turun
untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi dua tahun lalu dan mereka membariskan
lima pemain import, selebihnya kekuatan dianggap seimbang.
Itulah andaian jurulatih
Norizan Bakar yang nyata tidak resah berdepan Singapura yang turun di Stadium
Shah Alam Selasa ini untuk mengharungi saingan separuh akhir pertama Kejohanan
Bola Sepak ASEAN.
Tanpa mahu memperkatakan
kekuatan Singapura kerana dibantu oleh kehadiran lima bintang import pelawat,
Norizan tampak yakin skuad kebangsaan mampu menewaskan Singapura, Selasa ini.
Singapura diperkuatkan dengan
lima pemain import yang sudah mendapat taraf kerakyatan - Itimi Dickson dan
Precious Emuejeraye, kedua-duanya berasal dari Nigeria, Mustafic Fahrudin dari
Serbia, Daniel Bennett dari England dan Shi Jiayi dari China.
Keyakinan Norizan berkisar
kepada prestasi sejak daripada perlawanan awal peringkat kumpulan di Bangkok
apabila menewaskan Filipina 4-0, seri 0-0 dengan Myanmar dan tewas 1-0 kepada
Thailand.
Itu membuktikan prestasi kita
tidak begitu buruk, kita mara ke separuh akhir bukan kerana nasib tetapi kerana
Myanmar yang tidak bernasib baik.
Perjuangan dalam peringkat
kalah mati ini jelas berbeza aksi di peringkat kumpulan dan pemain sedar betapa
kelebihan bermain di tempat sendiri adalah peluang untuk memahatkan kemenangan.
Melihat semangat dan keazaman
pemain, saya tidak nampak kenapa kita tidak boleh mengalahkan Singapura.
Kita mesti menang perlawanan
ini kerana ia akan menjadi bekalan terbaik bagi mengharungi saingan separuh
akhir kedua di Stadium Nasional Singapura pada 27 Januari ini, kata Norizan
ketika ditemui selepas menjalani latihan ringan di Stadium Shah Alam, semalam.
Beliau mengakui beberapa
kelemahan yang dapat dilihat sepanjang tiga aksi anak didiknya di Bangkok
tetapi perkara itu akan dapat diatasi menjelang pertemuan dengan Singapura
kelak.
Mengenai jentera serangan, kata
Norizan, beliau tidak menafikan kelemahan tersebut.
Bagaimanapun, beliau masih
menaruh harapan gandingan Nizaruddin Yusof dan Hairuddin Omar dibantu oleh
Muhammad Shukor Adan dan Fadzli Saari mampu menggegar gawang lawan.
Saya yakin mereka mampu
melakukan sesuatu yang di luar dugaan, kata Norizan.
Menjelang pertemuan penting
itu, beliau tidak akan membuat sebarang rombakan besar, sebaliknya menyandarkan
harapan kepada gandingan yang sama sewaktu tewas 0-1 kepada Thailand dalam
perlawanan terakhir Kumpulan A.
Ujar beliau, ketiadaan pemain
pertahanan Irwan Fadli Idrus tidak menjejaskan kekuatan benteng kerana masih
ada pengganti dalam kelompok 23 pemain yang sedia ada.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4soVebbzz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan