Khamis, 21 September 2017

Chin Aun, tauke yang garang tapi tenang



Oleh Nazri Abu Bakar
bhsukan@bh.com.my

MELAKA: "Saya sudah beraksi di Olimpik Munich 1972. Apabila Malaysia layak kali kedua di Moscow pada 1980, saya cukup teruja dan tidak sabar untuk membuktikan skuad negara juga mampu bersaing di pentas dunia.

"Tetapi, apabila kerajaan membuat keputusan menarik diri, saya memang cukup terkilan kerana gagal mencipta sejarah untuk negara," kata legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun.

Baginya, kejayaan membawa pasukan negara layak ke Olimpik 1980 amat membanggakan kerana pemain beraksi habis-habisan dalam memburu satu slot ke Moscow.

Namun, dia tidak pernah menduga negara menarik diri menyertai kejohanan itu akibat pemulauan kerajaan terhadap Olimpik Moscow sebagai membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan

Sepanjang pusingan kelayakan, dia dan rakan langsung tidak pernah terlintas di fikiran akan berlaku keputusan luar jangkaan itu, sebaliknya bermain bersungguh-sungguh demi maruah negara dan berusaha menambah koleksi lakaran sejarah dalam kancah bola sepak kebangsaan.
CHIN Aun....dulu dan kini.
CHIN Aun sentiasa percaya skuad bolasepak Malaysia mampu kembali beraksi dalam Sukan Olimpik.

Lebih menarik Chin Aun yang digelar 'tauke' adalah satu- satunya pemain yang berjaya membantu negara layak ke Olimpik sebanyak dua kali iaitu Munich 1972 dan Moscow 1980 .

Ketika berusia 23 tahun, dia membarisi skuad lebih senior bersama deretan bintang legenda bola sepak Harimau Malaya di Munich termasuk bersama Datuk M Chandran, Shaharudin Abdullah, Datuk Rahim Abdullah, Zawawi Yusof, Datuk Namat Abdullah, Kam Fook Wong dan Saleh Ibrahim,

Lapan tahun selepas itu dia bersama pemain lain termasuk mendiang R Arumugam, Datuk Hassan Sani, Datuk James Wong, Khalid Ali, Bakri Ibni, Datuk Jamal Nasir dan Datuk Santokh Singh sekali lagi membantu kejayaan negara layak ke Olimpik Moscow.

Sebaik layak, anak kelahiran Alor Gajah yang juga `Living legend' atau legenda yang masih hidup itu sudah membayangkan mahu mengulangi aksi di Munich apabila berdepan Amerika Syarikat, Maghribi, dan Jerman Barat.
RAMLI Junit (belakang kiri) bersama pasukan Olimpik negara 1980. Ong Yu Tiang,James Wong, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Abdullah Ali, Hasan Sani. Shukor Salleh Jamal.Rakan sepasukan dalam skuad bola sepak kebangsaan. - Foto Khairul Ghazali
BEKAS pemain Harimau Malaya dalam skuad Olimpik 1980, S Pushpanathan (tiga kanan), bersama rakan sepasukan (dari kiri) Abdah Alif, Chin Aun, Santokh Singh, Wan Jamak dan Shukor Salleh. - Foto Yahya Zainuddin
Walaupun Malaysia gagal layak ke pusingan kalah mati, semua kenangan itu tetap segar dalam ingatannya dan sebab itulah keinginannya begitu memuncak untuk sekali lagi berada memperaga aksi di pentas Olimpik.

"Justeru di Moscow pastinya kami akan bertemu pasukan terbabit ataupun skuad antarabangsa yang lain. Namun semuanya tidak menjadi kenyataan.

"Andainya negara beraksi di Moscow sudah pasti ranking negara akan diperbaiki dan bola sepak Malaysia dilihat setanding malah lebih baik berikutan rekod menang 3-0 ke atas Amerika Syarikat.

"Walaupun tewas 0-6 di tangan Maghribi, dan 0-3 kepada Jerman Barat di Munich, ia sebenarnya cukup menggambarkan bola sepak Malaysia setanding pasukan terbaik dunia," kata bekas kapten Selangor dan Melaka terbabit.

Mengulas kejayaan negara layak ke Moscow dia berkata, tugasnya sebagai kapten pasukan amat penting untuk membangkitkan semangat rakan sepasukan sambil perlu bijak mengetuai permainan dalam pada juga situasi.
CHIN Aun ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukan.
 
CHIN Aun dianggap legenda hidup dalam bola sepak Malaysia.

Apapun, dia bangga berikutan rakan sepasukan amat menghormatinya sebagai jeneral padang, malah kesemua mereka sering bekerjasama dan turut berbincang bagaimana untuk menterjemah permainan terbaik.

Chin Aun yang diabadikan dalam 'Hall of Fame' Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu bersama, legenda Iran Homayoun Behzadi (Iran), Yasuhiko Okudera (Jepun), Sun Wen (China), Hong Myung-bo (Korea Selatan), Ali Daei (Iran), Sami Al Jaber (Arab Saudi), Baichung Bhutia (India), Harry Kewell (Australia) juga mengakui mesra dengan semua rakan sepasukan yang mampu membentuk keserasian di dalam dan luar padang.

Malah dia juga turut memuji persembahan Hassan Sani dan James Wong yang bekerjasama menghasilkan jaringan kemenangan negara mengatasi Korea 2-1 untuk mara ke Moscow, sambil turut merakamkan terima kasih kepada skuad 1980 yang meletakkan Malaysia terus diingati sehingga kini.

Sentiasa yakin Malaysia mampu layak ke Olimpik

Chin Aun yang terkenal dengan corak permainan keras, pantas memintas lawan dan tenang serta sentiasa melakukan hantaran tepat dilihat sukar dicari ganti namun dia mengharapkan lebih ramai pemain terbaik mampu dilahirkan negara.

Pemain yang terkenal dengan gelaran 'Tauke' ini yang meraih banyak kejuaraan di pentas kebangsaan dan antarabangsa itu juga mengharapkan Malaysia mampu layak ke Olimpik pada masa depan walaupun perjalanan berdepan laluan sukar dan berliku.
 
PEMAIN veteran Selangor (dari kiri), Dauk Soh Chin Aun, Santokh Singh, Khan Hung Meng, Zainal Abidin Hassan dan Mehmet Durakovic sebelum aksi Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam. - Foto Hasriyasyah Sabudin

"Tidak mustahil Malaysia layak ke Olimpik seperti mana yang kami buktikan. Saiz, fizikal, latihan dan teknikal bola sepak adalah sama, jadi tiada sebab kita tidak mampu layak sekali lagi atau beraksi di Piala Dunia, walaupun kita tidak tahu bila.

"Jika Jepun dan Korea Selatan yang pernah setanding kita, malah Malaysia pernah lebih baik daripada mereka sebelum ini mampu ke Piala Dunia, kenapa tidak kita mampu layak," katanya ketika ditanya mengenai impian peribadinya terhadap masa depan bola sepak negara.

Apapun, dia mahukan semangat kental yang tinggi tertanam di jiwa pemain setiap kali mewakili negara kerana perlu perlu sentiasa beranggapan, panggilan untuk menyarung jersi negara adalah sesuatu yang amat dibanggakan disebabkan bukan semua pemain memiliki peluang itu.

Berikutan itu, dia mahu pemain berusaha mencipta kejayaan buat rakyat Malaysia yang pasti akan diingat walaupun mereka sudah tiada di dunia ini.

Profil: Datuk Soh Chin Aun
Asal: Alor Gajah ,Melaka
Tarikh Lahir: 28 Julai 1949
Sukan: Bola sepak
Adik beradik : Anak keempat daripada lapan beradik
Isteri : Datin Lee Chwee Sieang
Anak: 2 lelaki 1 perempuan
Cucu: 5 orang
Idola: Pele, Johan Cruff, Franz Beckenbauer

    Pencapaian:

    Mewakil Selangor 1970-1980; Melaka (1981-1989); Malaysia (1970- 1985)

    Pingat Gangsa Sukan Asia Tehran 1974

    Olimpik 1972 dan Olimpik 1980

    Anugerah: 'Hall of Fame' Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)

    Pembawa Obor Olimpik Sukan Olimpik Athens 2004
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 4 Disember 2016 | 12:04am

Tiada ulasan:

Catat Ulasan