Jumaat, 15 September 2017

Myanmar buat Malaysia tertekan



 
ARKIB : 15/01/2007
PEMAIN negara, Mohammad Hardi Jaafar (no.10) dikawal ketat dua pemain Myanmar, Zaw Lynn Tun (no.4) dan Aung Maung Tun (no.7) ketika aksi Kumpulan A Piala AFF di Bangkok, semalam. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 0-0. – AFP.

BANGKOK – Malaysia berhadapan laluan sukar untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Asean (AFF) selepas seri tanpa jaringan dengan juara Piala Merdeka, Myanmar di Stadium Supachalasai di sini semalam.

Malaysia akan menentang tuan rumah Thailand dalam perlawanan akhir Kumpulan A esok manakala Myanmar mempunyai tugas yang agak mudah apabila bertemu Filipina.

Skuad kebangsaan turun ke padang membariskan pemain sama yang menumpaskan Filipina 4-0 Jumaat lepas manakala lawan mereka, yang memberikan gol pada waktu kecederaan ketika terikat 1-1 dengan Thailand, turut melakukan perubahan kecil.

Dengan perlawanan yang sukar menentang Thailand esok, Malaysia berusaha mendapatkan gol awal bagi memastikan kemenangan dan hanya memerlukan lapan minit untuk menguji pertahanan Myanmar namun tandukan Hairuddin Omar tersasar.

Namun serangan balas Myanmar nyaris membuahkan hasil apabila rembatan Yan Paing mengenai tiang gol kanan ketika penjaga gol Malaysia Mohd. Syamsuri sudahpun tewas.

Pada minit ke-18, Mohd. Nizaruddin Yusof, yang dipilih sebagai CNN’s World Sport Play of the Day ketika melakukan aksi sepakan gunting mengagumkan pada Jumaat lalu, membuat rembatan kencang yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Myanmar berusia 16 tahun, Kyaw Zin Htet.

Malaysia menguasai perlawanan dengan baik namun sukar menembusi benteng pertahanan Myanmar, sehinggalah pada minit ke-35 apabila pemain muda Mohd. Khyril Muhymeen melakukan larian solo ke kotak penalti tetapi sepakannya yang lemah terus ke dakapan Zin Htet.

Seketika kemudian, Myanmar memperoleh satu lagi peluang keemasan menerusi Khin Maung Tun yang rembatan jarak jauhnya diselamatkan oleh Mohd. Syamsuri.

Sementara itu dalam perlawanan kedua pula tuan rumah, Thailand menepati ramalan apabila berjaya mencatat kemenangan pertama apabila menewaskan Filipina 4-0.

MALAYSIA: Mohamad Syamsuri, Mohd. Fauzie Nan, Norhafiz Zamani Misbah, V. Thirumurugan (K. Nanthakumar), Mohd Khaironnisam, Muhammad Hardi Jaafar, Muhammad Shukor Adan, Mohd. Nizarudin Yusof (Safiq Rahim), Mohd. Khyril Muhmeen, Irwan Fadzli Idrus, Hairuddin Omar.

MYANMAR: Kyaw Zin Htet, Min Thu, Moe Win, Zaw Lynn Tun, Khin Maung Lwin, Khin Maung Tun, Aung Myo Thant, Aung Myint Aye (Kyaw Thu Ra), Yan Paing, Si Thu Win, Soe Thiha Aung.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sjsKVifJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan