B-16 AFC: Anak buah Teong Kim
benam Singapura
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 16
Tahun negara (B-16) membuka kempen Kelayakan Kejohanan B-16 Konfederasi Bola
Sepak Asia (AFC) 2018 dengan penuh bergaya apabila mudah membenam seteru
seberang tambak, Singapura 6-1 di Stadium Wibawa Mukti, Bekasi, Indonesia, sebentar
tadi.
Nyata skuad dibarisi pemain
Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang mendapat banyak pengalaman
beraksi di Eropah bukanlah tandingan sebenar Singapura selepas anak buah Lim
Teong Kim itu mendahului 4-1 pada separuh masa pertama.
Kemenangan ini turut disifatkan
sebagai amaran awal daripada skuad B-16 negara kepada pencabar lain betapa
mereka kini sudah bersedia sepenuhnya untuk memberi cabaran, meskipun sudah
layak ke saingan itu pada tahun hadapan atas tiket selaku tuan rumah.
Pada aksi terbabit, Malaysia
tidak perlu menunggu lama untuk merobek gawang Singapura apabila Luqman Hakim
Shamsudin meledak gol pembukaan seawal minit ketiga, sebelum Harith Haiqal Adam
Afkar melebarkan jurang pada minit ke-11.
Penyudah kemas Luqman sekali lagi
membolehkan dia mencetak gol kedua peribadinya pada minit ke-17, namun Marc
Ryan Tan mengurangkan defisit untuk menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-23.
Selepas dibolosi, Malaysia
tidak mengendurkan asakan, sebaliknya terus mengekalkan corak menyerang dan
membolehkan Muhammad Amirul Azzim Mohd Ruzki meledak gol keempat buat negara
enam minit berselang.
Mengharungi babak kedua dengan
kelebihan empat gol, anak buah Teong Kim belum puas dan terus bernafsu untuk
menambah gol yang menyaksikan Ahmad Zikri Mohd Khalili meledak gol kelima
Malaysia pada minit ke-55 sebelum Muhammad Firdaus Kaironissam melengkapkan
malam gemilang Malaysia dengan gol keenam.
Malaysia akan meneruskan aksi
kedua Kumpulan J bertemu Guam, Jumaat ini dan mereka seharusnya tidak berdepan
masalah untuk meraih kemenangan terutamanya selepas Guam dibelasah 20-0 oleh
Jepun.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan