Sabtu, 16 September 2017

Hodak enggan fikir kejuaraan



Sabtu, 16 September 2017 | 6:08pm
PENANG 18 MAY 2016. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Bojan Hodak ketika hadir pada sesi latihan bola sepak Pulau Pinang di Padang A, Universiti Sains Malaysia. STR/SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZALSHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
Hodak enggan fikir kejuaraan
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
 
KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Bojan Hodak enggan memikirkan soal mencipta sejarah menjuarai Kejuaraan B-18 AFF 2017 buat kali pertama apabila pasukannya turun berdepan Thailand pada aksi final di Stadium Thuwunna, Yangon, esok.

Hodak menjelaskan ia bagi mengelak daripada barisan pemainnya berdepan tekanan selain sedar lawannya itu adalah pasukan terbaik Asia Tenggara.

"Kami hanya fokus kepada satu ke satu perlawanan dan melihat bagaimana untuk meraih kemenangan. Kami tidak terlalu memikirkan untuk muncul juara.

"Thailand pasukan terkuat di Asia Tenggara ketika ini. Ia akan menjadi perlawanan yang sengit, jadi kami akan cuba buat yang terbaik untuk meraih kemenangan.

"Sebelum kejohanan, tiada harapan tinggi diletakkan kepada kami kerana persiapan yang singkat. Jadi saya tidak mahu memberikan sebarang tekanan kepada pemain," katanya, hari ini.

Malaysia belum pernah muncul juara dalam kejohanan ini walaupun empat kali melangkah ke final pada 2003, 2005, 2006 dan 2007.

Selain itu, Hodak turut mengakui sudah mengkaji corak permainan Thailand ketika terikat 1-1 dengan pasukan Gajah Perang itu pada aksi peringkat Kumpulan A, Selasa lalu.

"Ya, kami tahu (kekuatan dan kelemahan mereka), tapi dalam perlawanan sebelum ini mereka tidak menurunkan beberapa pemain utama.

"Kami juga melakukan latihan sepakan penalti sebagai persediaan sekiranya perlawanan tidak berakhir dalam tempoh 90 minit seperti pertemuan dengan Myanmar, semalam," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 16 September 2017 | 6:08pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan