ARKIB : 15/03/2007
Pemain Malaysia, Sabre Mat Abu
(kanan) gagal menyekat kemaraan pemain Jepun, Chikashi Masuda sewaktu aksi
pusingan kelayakan Olimpik di Stadium MBBJ, Petaling Jaya, semalam. Jepun
menang 2-1.
PETALING JAYA Peluang
Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik 2008 seakan sudah tertutup rapat setelah
mengalami kekalahan kedua dan kali ini giliran pasukan pilihan, Jepun
menewaskan skuad kebangsaan 2-1 dalam saingan Kumpulan B pusingan kelayakan
bola sepak Olimpik di Stadium MBPJ di sini, malam tadi.
Ini adalah kekalahan kedua
skuad bimbingan jurulatih B. Sathianathan selepas tunduk 3-1 kepada Syria dalam
perlawanan pertama di Damsyik, sebelum ini.
Dua kekalahan berturut-turut
dialami skuad kebangsaan sudah memastikan peluang untuk mencuri salah satu
tempat layak ke pusingan seterusnya semakin sukar.
Buat Jepun yang turun selaku
pasukan pilihan seperti diramalkan tidak menghadapi laluan sukar dengan dua
jaringan menerusi penyerang Sota Hirayama dan Tadanari Lee sudah cukup menjamin
kemenangan kedua menewaskan Malaysia.
Kemenangan itu adalah kali
kedua buat Jepun selepas mereka menewaskan Hong Kong 3-0 dalam perlawanan
pertama.
Sota mencipta jaringan hasil
kesilapan benteng pertahanan skuad kebangsaan gagal mengeluarkan bola sepakan
percuma pada minit ke-13 apabila dia mudah menolak masuk menewaskan penjaga
gol, Nasril Nourdin
Hirayama yang digantikan dengan
Lee menyempurnakan jaringan pada pertengahan babak kedua kurang lima minit dia
masuk beraksi untuk mengukuhkan kedudukan Jepun.
Sekali lagi kesilapan benteng
pertahanan skuad Olimpik kebangsaan gagal membayangi Keisuke Honda yang membuat
larian dari sebelah kanan dan kemudiannya membuat hantaran ke arah Lee yang
melepaskan rembatan kencang pada minit ke-77 setelah Nasril terkeluar dari
posisi.
Skuad kebangsaan yang
ketinggalan menggandakan asakan bertali arus untuk mencari gol penyamaan.
Ketika perlawanan berbaki
sembilan minit hendak ditamatkan Khyril Muhymeen merapatkan jurang menerusi
jaringannya dari sepakan sudut untuk menjadikan kedudukan 2-1 hingga tamat
perlawanan.
MALAYSIA: Mohd Nasril Mat
Nourdin, Moh Sabre Mat Abu, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, Mohamad Syamsol
Sabtu, Subramanian Sooryaooarad, Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Mohd Amirulhadi
Zainal (Mohd Azrul Ahmad), Safiq Rahim, Azi Shahril Azmi (Mohd Daudsu
Jamaludin), Saramsak Kram, Mohd Azril Abd Hamid (Abdul Manaf Mamat).
JEPUN: Akihiro Hayashi,
Masahiko Inoha, Hiroki Mizumota, Naoaki Aoyama, Chikashi Masuda (Hiroyuki
Taniguchi), Koki Mizuno, Yohei Kajiyama (Kota Ueda), Toshihiro Aoyama, Akihiro
Ienaga, Keisuke Honda, Sota Hirayama (Tadanari Lee).
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tP65MMI3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan