Jumaat, 15 September 2017

Malaysia bernasib baik - Kita mara ke separuh akhir selepas Myanmar, Filipina seri



 
ARKIB : 17/01/2007
PEMAIN Malaysia, Mohd. Hardi Jaafar (kiri) melompat ketika diasak oleh pemain Thailand, Nirut Surasiang (kanan) sambil diperhatikan oleh Mohd. Nizaruddin Yusof (jersi 11) pada perlawanan Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak ASEAN di Stadium Suphachalasai, Bangkok, semalam. Malaysia tewas 0-1 tetapi layak ke separuh akhir. – AFP.

BANGKOK - Terima kasih Filipina! Itulah ungkapan terbaik seharusnya dikalungkan kepada Filipina hingga membolehkan Malaysia melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak ASEAN walaupun tewas 0-1 kepada tuan rumah Thailand dalam perlawanan terakhir Kumpulan A, di Stadium Suphachalasai, semalam.

Walaupun Malaysia tewas menerusi jaringan Sarayoot Chaikamdee pada minit ke-48 tetapi skuad kebangsaan mara ke separuh akhir buat kali kelima daripada enam penampilan setelah saingan terdekat Myanmar sekadar seri 0-0 ketika bertemu Filipina dalam perlawanan yang serentak diadakan.

Myanmar yang perlu menewaskan Filipina untuk mara ke separuh akhir gagal mengambil kesempatan yang dilakukan oleh Malaysia dan Thailand apabila membelasah lawan dengan jaringan yang sama 4-0 dalam perlawanan sebelum ini.

Keputusan seri buat Myanmar membolehkan mereka memungut tiga mata setelah seri dalam ketiga-tiga perlawanan manakala Malaysia memungut empat mata hasil kemenangan ke atas Filipina 4-0 dan seri 0-0 bertemu Myanmar sebelum itu.

Thailand seperti yang diramalkan mengungguli tangga teratas Kumpulan A dengan tujuh mata diikuti oleh Malaysia muncul naib juara manakala Myanmar di tempat ketiga dan Filipina di tangga terakhir memungut satu mata.

Kemenangan tipis Thailand selaku juara tiga kali menebus kembali kekalahan kepada Malaysia iaitu 2-1 hingga tersingkir di peringkat kumpulan pada kejohanan yang sama pada 2004.

Saingan di peringkat separuh akhir akan diadakan secara timbal balik. Saingan pusingan pertama berlangsung pada 23 dan 24 Januari ini manakala pusingan kedua pula pada 27 dan 28 Januari.

Malaysia yang muncul naib juara di belakang Thailand akan menanti juara kumpulan B yang akan ditentukan hari ini membabitkan tiga pasukan iaitu Singapura, Indonesia atau Vietnam.

Thailand memperoleh jaringan menerusi Chaikamdee sejurus tiga minit babak kedua bermula yang sudah cukup memastikan kemenangan bermakna buat Thailand menebus dendam pada 2004.

Skuad kebangsaan yang pada mulanya sangsi untuk menurunkan Fauzi Nan yang mendapat empat jahitan di kepala dan kecederaan penyerang Nizaruddin Yusof, tetapi tetap menurunkan kedua-dua pemain tersebut.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sk5F1i7J
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan