Sabtu, 9 September 2017

Nasib B20: Skuad muda ini mungkin terjun ke kancah Liga M 2008



ARKIB : 05/11/2006

IPOH - Skuad Bawah 20 Tahun negara tidak akan menyertai Liga M bagi musim 2006/2007 yang dijadual bermula pada 16 Disember ini.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, skuad B20 tidak dapat menyertainya kerana pemain terikat bermain dengan negeri.

‘‘Saya percaya para pemain berkenaan sudah didaftarkan dengan negeri masing-masing untuk saingan Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM akan datang,’’ katanya ketika ditemui pemberita di Batu Kurau, semalam.

Beliau yang juga ahli Parlimen Larut mengadakan jamuan rumah terbuka Aidilfitri di Padang Astaka, Batu Kurau.

Selain itu, katanya, pengurusan bagi menyediakan skuad B20 menyertai Liga M akan menjadi kelam kabut kerana undian akan diadakan pada 12 November ini.

‘‘Saya bimbang jika skuad B20 menyertai juga liga secara tergesa-gesa pada musim ini sudah tentu akan menimbulkan masalah dengan badan-badan gabungan kelak,” tambah Raja Ahmad.

Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan skuad bimbingan jurulatih K. Rajagobal tersebut akan menyertai Liga M bagi musim 2008.

‘‘Biarlah, FAM membuat pertimbangan dan kajian yang mendalam mengenai perkara ini sebelum melakukan sebarang keputusan kelak,” tambah beliau.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad sebelum ini mencadangkan agar skuad B20 menyertai Liga M selepas kecundang dalam Kejohanan Bola Sepak Belia Asia di Bangalore.

Skuad B20 tewas kepada Vietnam, Arab Saudi dan Iraq dalam saingan Kumpulan D sekali gus pulang tanpa membawa sebarang mata.

Dalam pada itu, Raja Ahmad menyatakan, skuad B20 tidak akan dibubarkan sebaliknya, akan dikekalkan sebagai program jangka panjang untuk pembentukan sebuah pasukan yang mantap.

‘‘Mereka (pemain) sudah mengenali corak permainan masing-masing yang mana akan memudahkan jurulatih untuk mencorakkan persembahan skuad berkenaan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Raja Ahmad enggan mengulas kedudukan Rajagopal dalam skuad B20.

‘‘Perkara berkenaan akan dibincangkan oleh Majlis FAM kelak,” jelasnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sBC8qqMH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan