Khamis, 21 September 2017

Rajagopal: Ini baru permulaan skuad B-19



ARKIB : 12/03/2007

BANDAR SERI BEGAWAN – Walaupun cabaran Malaysia berakhir pada peringkat separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Trofi Hassanal Bolkiah (HBT) malam semalam, bagi jurulatih K. Rajagopal, kejohanan bola sepak bawah 21 tahun itu hanyalah permulaan bagi membina skuad mantap bawah 19 tahun negara.

Rajagopal berkata, sasaran sebenar pembentukan skuad B-19 Malaysia ialah pusingan kelayakan Kejohanan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Vietnam pada Oktober ini.

“HBT merupakan medan terbaik untuk menilai pemain muda Malaysia yang pertama kali bersaing di peringkat antarabangsa. Pasukan ini hanyalah sementara kerana saya perlu mencari lebih banyak pemain bila kembali ke Malaysia,” katanya di sini, semalam.

Cabaran Malaysia di kejohanan dwitahunan HBT berakhir selepas tumpas 0-2 kepada Myanmar dalam peringkat separuh akhir, malam semalam.

Pada perlawanan akhir hari ini, Myanmar akan bertemu Thailand. Juara bertahan itu mara selepas membelasah Kemboja 10-1 pada satu lagi separuh akhir.

Beliau berkata, kesuntukan masa sebelum ke Brunei memberinya sedikit peluang untuk menilai pemain yang dicadangkan oleh jurulatih belia dari seluruh Malaysia.

Empat belas daripada pemain ke Brunei, katanya, akan dikekal dalam skuad B-19 Malaysia yang akan ke Vietnam nanti dan beliau akan meneruskan usaha mencari pemain lain daripada Piala Belia dan Piala Akademi yang akan bermula tidak lama lagi.

“Saya merancang untuk membentuk skuad B-19 yang terdiri daripada 30 hingga 35 pemain. Selain daripada 14 pemain di Brunei ini yang akan dikekalkan, saya percaya Piala Belia dan Piala Akademi akan memberikan saya pemain berkualiti untuk melengkapkan pasukan B-19 nanti,” katanya.

Rajagopal berkata, dia memerlukan sehingga 35 pelatih bagi membolehkannya mencari pemain yang benar-benar berkualiti untuk membentuk skuad yang mantap sebelum ke Vietnam.

Jumlah yang kecil katanya, membataskan pemilihan terutama bila ada pemain yang cedera atau menghadapi masalah lain.

“Contohnya di HBT. Saya hanya mempunyai 18 pemain. Bila 11 pemain di padang, tinggal lagi tujuh orang. Ada yang cedera, tidak sihat dan ada yang mendapat kad merah. Jadi pilihan saya terhad,” ujarnya.

Malaysia memulakan kempen HBT dengan mengikat Vietnam 1-1, tumpas kepada Thailand 1-4 dan menewaskan Singapura 2-0 untuk menjadi naib juara saingan peringkat Kumpulan A dan layak ke separuh akhir.

Mengulas prestasi anak buahnya pada Kejohanan Belia ASEAN ini yang bermula Sabtu lepas, Rajagopal berkata, kecuali beberapa kelemahan ketara di barisan pertahanan serta barisan penyerang yang tumpul, pemain B-18 Malaysia menunjukkan persembahan yang baik.

Kebanyakan pasukan ke Brunei ini katanya menampilkan skuad B-21 yang telah lama dibentuk.

Myanmar contohnya menghantar skuad yang telah digandingkan sejak tiga tahun lepas sementara Vietnam menghantar pasukan yang majoritinya dari kelab terbaik mereka, Hoang Anh Gia Lai, yang dikatakan akan bertukar status kepada profesional menjelang akhir tahun ini, katanya.

“Sedangkan skuad B-18 Malaysia dibentuk lapan hari sebelum HBT bermula.

“Berdasarkan kejayaan mengikat Vietnam dan mengekang Thailand serta Myanmar daripada memperoleh jaringan yang lebih besar, jelas pemain kita cuma ketinggalan daripada segi pengalaman,” katanya.

– Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tNfZl56W
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan