Sabtu, 9 September 2017

Sukan Asia, B23 asah taring



ARKIB : 22/11/2006

KUALA LUMPUR – Mengakui skuadnya bebas daripada tekanan, Norizan Bakar merasakan pasukan bawah 23 negara mampu menunjukkan taring pada Sukan Asia Doha Disember ini.

Malah, ketua jurulatih skuad bola sepak negara itu yakin pasukan bimbingannya mampu membuktikan sesuatu kepada peminat apabila temasya di ibu negara Qatar itu tamat.

“Semua orang sudah tahu kami akan ke Doha tanpa tekanan. Realitinya dalam keadaan sekarang saya yakin kita boleh pergi jauh,” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam, selepas mengumumkan senarai 20 pemain negara yang akan ke Sukan Asia.

Keyakinan Norizan, yang membawa skuad negara menang gangsa Sukan SEA di Filipina dua tahun lalu, juga bersandarkan bahawa anak-anak buahnya sudah cukup berpengalaman di peringkat antarabangsa sekali pun masih di usia muda.

“Walaupun mereka masih di bawah usia 23 tahun, tetapi mereka tahu apa yang negara kita harapkan daripada mereka.

“Mereka sudah tahu bagaimana untuk menghadapi perlawanan antarabangsa. Ini termasuk pemain bawah 20 tahun, Mohd. Khyril Muhaymeen Zambri dan Safiq Rahim, telah mengharungi banyak perlawanan persahabatan dan kejohanan antarabangsa.

“Tetapi, matlamat utama kami ialah mahu bermain sebaik mungkin. Sasaran ini akan dibantu oleh faktor bahawa pasukan kita tidak dihantui sebarang tekanan,” ujar beliau.

Sukan Asia membenarkan tiga pemain dari skuad senior untuk disenaraikan, justeru Norizan mengharapkan ketua pasukan Norhafiz Zamani Zamani Misbah dan rakannya di bahagian pertahanan Muhamad Khaironnisam Shahabuddin Hussain serta penyerang Hardi Jaafar dapat menjalankan tanggungjawab mereka membimbing rakan-rakan muda mereka apabila beraksi dalam keadaan terdesak.

‘‘Selain itu, pengalaman luas penyerang Pahang, Mohd. Fadzli Saari yang masih berusia di bawah 23 tahun tetapi telah menjadi anggota tetap skuad senior sejak di bawah kendalian Alan Harris, juga dipertanggungjawabkan untuk menyatukan pasukan apabila diasak oleh pasukan lawan,’’ kata Norizan.

Skuad negara yang mara ke pusingan kedua secara automatik setelah menjadi pasukan pilihan ketika undian awal, berada dalam Kumpulan E bersama-sama Oman, China dan berkemungkinan Iraq yang dilihat memiliki kemampuan melepasi pusingan kelayakan.

“Kita akan menghadapi tiga pasukan yang kuat di peringkat awal. Oman mempunyai beberapa pemain yang beraksi dalam Liga Perdana England, China dilatih oleh bekas jurulatih skuad Piala Dunia Ghana manakala Iraq, yang berkemungkinan layak dari pusingan kelayakan, juga kuat walaupun negara mereka masih berperang.

“Tetapi saya yakin pasukan kita boleh melakukan sesuatu. Saya percaya pemain-pemain akan memberikan komitmen 100 peratus.

“Kita akan pergi dengan keghairahan (untuk menunjukkan kemampuan) dan semangat membara,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sEL6aFlv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan