Isnin, 11 September 2017

Kita mampu atasi Myanmar



ARKIB : 30/12/2006

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Myanmar umpama mati kutu jika diasak bertubi-tubi seperti yang terbukti ketika skuad Olimpik Malaysia menewaskannya 1-0 pada Kejohanan Bola Sepak Piala Cabaran Grand Royal di Mandalay, baru-baru ini.

Corak agresif dan penggunaan kedua belah sayap yang pantas Malaysia juga pasti mematikan sebarang ilham Myanmar untuk menyerang balas sekalipun lawan memiliki tiga tonggak yang mampu mengancam.

Analisis ringkas jurulatih Olimpik negara, B. Sathianathan ini mungkin mampu membantu Norizan Bakar menyediakan skuad kebangsaan dalam mengharungi Kumpulan A Kejohanan AFF di Bangkok mulai 12 Januari ini.

Kata Sathianathan, “aksi di Mandalay membuktikan kami menang bukan kerana nasib semata-mata malah setelah mencipta lebih banyak peluang. Kalau kita main agresif, Myanmar ternyata tidak dapat buat apa- apa.

“Mungkin Safiq Rahim dan Khyril Muhymeen Zambri yang bermain ketika itu, mampu menggunakan peluang dan pengalamannya apabila menentang Myanmar dalam Kejohanan AFF pula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Jelasnya, tiga pemain Myanmar yang wajar diberi perhatian Malaysia ialah ketua pasukan, Soe Myat Min; penyerang utama Yan Paing dan Aung Myint Aye serta penjaga gol Aung Aung Oo yang banyak menyekat percubaan skuad Olimpik Bawah 21 Tahun.

Anak buah Sathianathan mengejutkan skuad kebangsaan Myanmar yang kemudiannya menjuarai Piala Cabaran dengan menewaskan skuad Bawah 23 Tahunnya sekali gus menambah koleksi trofi Pestabola Merdeka di Shah Alam pada 29 Ogos lalu.

Skuad kebangsaan bimbingan Norizan tewas kepada Myanmar 2-1 di Shah Alam sehingga terlepas peluang ke perlawanan akhir biarpun cuma perlu seri setelah menewaskan skuad Sukan Asia Thailand 2-1 dan mengikat Indonesia 1-1.

Anggota lain Kumpulan A ialah Filipina, naib juara kelayakan di Bacolod City, bulan lalu dan juara tiga kali kejohanan atau dulunya Piala Tiger, Thailand. Malaysia pernah bergelar naib juara 1996 di Singapura tetapi hanya menduduki tempat ketiga pada 2004-2005.

Pemain tengah Johor FC, Eddy Helmi Manan yang mengalu-alukan pemilihannya ke pangkuan skuad pelatih negara, berkata, “selagi khidmat saya diperlukan, saya sentiasa menyahut cabaran ini. Saya gembira kerana masih mendapat kepercayaan dan dihargai jurulatih.”

“Kami kesuntukan masa menghadapi Kejohanan AFF ini tetapi saya yakin ramai yang berpengalaman dan telah serasi bersama untuk mengharungi satu demi satu lawan,” katanya merujuk aksi sulung dengan Filipina di Stadium Supachalasai pada 12 Januari.

Skuad pelatih negara:

Shukor Adan, Fadzli Saari, Safiq Rahim, Syamsuri Mustafa, Azi Shahril Azmi, Nasril Nourdin, Chan Wing Hoong, K. Nanthakumar, Irwan Fadli Idrus, Hairuddin Omar, Norhafiz Zamani Misbah, Fauzi Nan, Azizi Mat Rose, Khaironnisam Shahabuddin Hussain, Nizaruddin Yusof, Azizon Kadir, Rezal Zambery Yahya, V. Thirumurugan, Saramsak Kram, Khyril Muhymeen Zambri, Hardi Jaafar, Eddy Helmi Manan, Ronny Harun.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4sMIOPno4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan