Sabtu, 16 September 2017

Hajat ke final tak kesampaian



ARKIB : 28/01/2007
Daripada: MOHD. TAUFEK RAZAK
 
TONGGAK Malaysia, Nizarudin Yusof (kiri) diasak oleh pemain Singapura, Daniel Bennett dalam saingan separuh akhir kedua Kejohanan Bola Sepak ASEAN di Stadium Nasional, Singapura, malam tadi. Malaysia tewas 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 2-2 secara agregat.– AFP.

SINGAPURA – Malaysia gagal lagi mara ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak ASEAN selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti 4-5 kepada juara bertahan, Singapura pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Nasional di sini, semalam.

Kegagalan Mohd. Kyril Muhymeen menyepak masuk sepakan kelima dan terakhir menyaksikan Malaysia sekali lagi tersingkir pada separuh akhir selepas dua tahun lalu turut dihampakan Indonesia dalam peringkat yang sama.

Empat sepakan penalti Malaysia disempurnakan Hardi Jaafar, Rezal Zambree, Saramsak Kram dan Thirumurugan, manakala Singapura menerusi Indra Shahdan, Mohd. Noh Alam Shah, Mustafic Fahrudin, Fazrul Naviaz dan Shia Jia Yi.

Terdahulu kedudukan terikat 1-1 sehingga ke masa tambahan selepas Eddy Helmi Abd. Manan meletakkan Malaysia lebih dulu di depan pada minit ke-57 sebelum Singapura menyamakan kedudukan menerusi Muhd. Ridhuan Muhamad pada minit ke-74.

Penentuan penalti terpaksa diadakan apabila kedudukan agregat terikat 2-2 selepas kedua-dua pasukan turut mencatat keputusan seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, Selasa lalu.

Empat sepakan percuma yang diperoleh Singapura di luar kotak penalti Malaysia tidak satu pun berjaya digunakan sebaiknya untuk mencipta jaringan dan peluang terbaik mereka hanya muncul pada minit ke-30, tetapi sepakan Mohd. Noh Alam Shah tepat ke dakapan Syamsuri Mustafa.

Malaysia yang sekali sekala menyerang berpeluang mendahului pada minit ke-38 apabila Hairuddin melepasi perangkap ofsaid tetapi hantaran ke belakangnya kepada Shukor Adan disepak tinggi melepasi palang gol.

Bermula babak kedua, Singapura yang semakin terdesak di depan penyokong sendiri terus mengasak dengan dua percubaan awal yang merbahaya tetapi berjaya dihalang oleh perangkap ofsaid yang dilakukan pertahanan Malaysia.

Dalam sibuk menyerang menyaksikan pertahanan Singapura alpa seketika dan berpunca daripada sepakan percuma, Eddy Helmi menjelmakan gol pendahuluan dengan menampan bola untuk menggegar jaring.

Walaupun cuba ditolak keluar penjaga gol Singapura, Lionel Lewis di atas garisan gol tetapi bola tetap bergolek masuk untuk Malaysia mendahului 1-0.

Gol tersebut menyebabkan Singapura seperti singa terluka dengan terus melancarkan serangan untuk mencari gol penyamaan dan usaha mereka berhasil 17 minit selepas gol pendahuluan Malaysia itu.

Selepas berlaku suasana kelam kabut di depan gawang Malaysia, Mohd. Nor memberi ruang kepada Muhd. Ridhuan untuk menyepak masuk dari jarak dekat untuk Singapura mengikat kedudukan sehingga tamat permainan.

Lima belas minit pertama masa tambahan selepas itu juga agak perlahan dan gagal memecah kebuntuan dalam usaha untuk kedua-dua pasukan menentukan pemenang perlawanan.

Namun, tempoh 15 minit kedua masa tambahan, permainan kembali pantas dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi penjaga gol masing-masing pula bertindak cemerlang sebelum perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

“Saya puas hati dengan pemain-pemain saya dan anda boleh lihat sendiri bagaimana mereka berusaha keras untuk menang, tetapi dalam sepakan penalti apa sahaja boleh berlaku,’’ kata jurulatih Malaysia, Norizan Bakar.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4spYyufaL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan