Sabtu, 30 September 2017

Tangani hantaran jauh – Norizan



ARKIB : 30/06/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Skuad negara perlu menekankan latihan menangani dan membuat hantaran jauh dalam tempoh 11 hari terakhir menjelang perlawanan pertama pusingan akhir bola sepak Piala Asia dengan China, bulan depan.

Jurulatih negara, Norizan Bakar berkata, kelemahan anak buahnya itu dikenal pasti sepanjang tiga perlawanan persahabatan sejak 18 Jun lalu tetapi ia menjadi ketara ketika menentang Jamaica di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

“Sebelum ini kami menghadapi masalah dalam mencipta peluang tetapi dengan tiga perlawanan ini, kami telah mengatasinya. Kini kami hanya perlu selesaikan soal hantaran jauh,” katanya selepas Malaysia kalah 2-0 dengan gol Christopher Harvey dan Wolry Wolfe.

Menurut Norizan, skuad negara sepatutnya lebih segera memburu gol dan tidak menanti sehingga babak kedua untuk mencipta lebih banyak peluang biarpun prestasi ketika itu memuaskan hatinya yang dibantu kemasukan ramai pemain gantian.

“Sepatutnya ada kesegeraan seperti babak kedua dan pemain memulakan permainan babak pertama dengan sedemikian kerana bola sepak bukan hanya bagi 45 minit.

“Namun, saya dapati pemain tetap bersemangat tinggi dalam babak kedua dan mereka seolah-olah bermain dalam suasana sebenar perlawanan pertama nanti,” katanya.

Antara percubaan terbaik Malaysia pada babak kedua yang mampu meraih gol ialah menerusi rembatan kaki kiri dan tandukan Safee Sali serta gerakan solo Shahrulnizam Mustapha yang sedikit tersasar selain percubaan berbahaya Fadzli Shaari.

Norizan bagaimanapun sempat merujuk kepada isu pelepasan pemain negara ke Piala FA yang menjejaskan tumpuan anak buahnya ke Piala Asia dari 7 hingga 29 Julai ini dengan peringkat awal ialah Kumpulan C bersama China, Uzbekistan dan Iran.

Menurutnya, isu itu turut mengurangkan pembabitan pemain berkenaan dalam empat sesi latihan skuad negara sekali gus memaksanya menguji lebih ramai pemain simpanan dengan Jamaica tanpa berpegang kepada kesebelasan utama idamannya.

“Apabila ada perlawanan tempatan, mereka terlepas empat sesi latihan. Memang saya menguji beberapa pemain (dengan Jamaica dalam fasa terakhir persediaan) tetapi saya tidak bimbang kerana sebagai jurulatih, saya perlu ada pelan persediaan A, B dan sebagainya,” katanya.

Norizan menegaskan, tiada lagi perlawanan persahabatan untuk Malaysia selepas ini kerana Piala Asia semakin hampir dan kecergasan dan pemulihan pemain perlu diambil kira tetapi dia menagih kesempatan yang lebih banyak untuk menggunakan Stadium Nasional sebagai gelanggang latihan.

“(Kelmarin) kali pertama kami dapat menggunakan padang sendiri (Stadium Nasional). Saya tidak mahu menjadikannya alasan itu punca kita kalah dengan Jamaica tetapi sepatutnya ia dapat digunakan lebih awal untuk kami menyesuaikan diri,” katanya.

Aksi dengan Jamaica pada babak kedua merupakan yang terbaik di antara tiga perlawanan persahabatan sekali gus membayangkan barisan pemain berkenaan bakal menjadi pilihan utama Malaysia termasuk penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang mungkin sempat pulih daripada kecederaan lutut kanan menjelang menentang China

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4uB2TLkqp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan