Isnin, 25 September 2017 |
10:55pm
KETUA Jurulatih Harimau Malaya,
Nelo Vingada senarai tujuh muka baru. - Foto Owee Ah Chun
Vingada tampil barisan baharu
jumpa Korea Utara
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Selepas gagal
meraih sebarang kemenangan dalam empat aksi sebelum ini, pengendali skuad
Harimau Malaya, Nelo Vingada kini tampil dengan barisan baharu.
Beliau menyenaraikan tujuh
pemain baru daripada 24 pemain dipanggil bagi aksi ketiga kelayakan Piala Asia
2019 menentang Korea Utara di Pyongyang, pada Khamis depan.
Tumbang kepada Lubnan (1-2),
Syria (1-2), Myanmar (0-1) dan seri tanpa jaringan ketika menentang Hong Kong
di Stadium Hang Jebat bulan lalu, nyata menghadirkan kebimbangan di kalangan
penyokong negara yang mahukan kelainan dalam barisan
Daripada senarai kali ini,
Vingada atau nama jolokan The Profesor memanggil enam pemain daripada skuad
bawah 22 tahun (B-22) yang memenangi perak temasya Sukan SEA bulan lalu, selain
tonggak tengah Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Nazmi Faiz Mansor.
Enam pemain B-22 itu adalah
penjaga gol, Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah), Safawi Rasid (Johor DT), Matthew
Davies dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Adam Nor Azlin (Selangor) dan Syamer
Kutty Abba (Pulau Pinang).
Hanya 17 pemain dikekalkan
manakala enam digugurkan iaitu Rizal Ghazali (Kedah) dan Aidil Zafuan Abd
Radzak (Johor DT) yang digantung perlawanan serta penjaga gol, Farhan Abu Bakar
(Kedah), Ahmad Syamim Yahya (Pahang), Nasir Basharudin (Perak) dan Nazrin Nawi
(Perak).
Semua pemain akan menjalani
latihan di Johor Bahru bermula Sabtu ini sebagai persediaan menghadapi Korea
Utara sebelum terbang terus ke Hong Kong untuk aksi keempat kelayakan itu.
Skuad kendalian Vingada kini
berada di tangga ketiga kumpulan dengan satu mata dan harus memburu kemenangan
sekiranya ingin kekal bersaing merebut tiket ke pusingan akhir tahun depan.
BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 25
September 2017 | 10:55pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan