Khamis, 21 September 2017

Remaja negara nyaris cipta kejutan



ARKIB : 05/03/2007
 
PEMAIN Malaysia, Nazrin Baharudin (kiri) tergelincir dirempuh Lam Anh Kha dari Vietnam pada perlawanan Kumpulan A Piala Hassanal Bolkiah di Kompleks Sukan Padang dan Balapan Berakas, Brunei, semalam.

KUALA LUMPUR – Skuad Bawah 18 Tahun Malaysia nyaris mencipta kejutan dengan menumbangkan lawan yang lebih senior, Vietnam sebelum diikat 1-1 pada perlawanan Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Belia ASEAN - Piala Hassanal Bolkiah, semalam.

Vietnam yang bermain dengan 10 orang di Kompleks Sukan Padang dan Balapan Berakas, Bandar Seri Begawan itu apabila Khuat Huu Long dibuang padang, hanya mampu menyamakan kedudukan menerusi jaringan minit akhir oleh Dao Cong Luan.

Skuad remaja Malaysia yang diketuai oleh K. Gurusamy Govindar dan dibimbing K. Rajagopal, mendahului pada minit ke-57 menerusi Ahmad Fakhri Saarani. Penjaring tunggal ini bagaimanapun digantikan Syahid Zaidon pada minit ke-84.

Kematangan

Vietnam menurunkan ramai pemain yang berusia antara 17 dan 19 tahun malah dianggap telah mencapai kematangan kerana dikumpulkan sejak setahun lalu. Ada di antaranya yang mewakili kelab terkemuka Ho Chi Minh City, Hoang Anh Gia Lai.

Bagi Malaysia, hanya Gurusamy Govindar dan Fakhri Saarani serta Shukur Jusoh yang agak berpengalaman mewakili skuad Bawah 20 Tahun pada Kejohanan Belia Asia di Bangalore dari Oktober hingga November tahun lalu.

Dalam Piala Hassanal Bolkiah dua tahun lalu, skuad bimbingan Rajagopal turut mencatat kemenangan ke atas lawan yang lebih senior seperti menewaskan Filipina 2-1, Indonesia 2-0 sebelum kalah kepada Thailand 4-0 dan Vietnam 2-1.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan kumpulan yang sama, Thailand menewaskan Singapura 2-0 menerusi jaringan Anawin Jujeen dan Sakarin Chanyotha pada minit ke-51 dan 87.

Malaysia akan menentang Thailand dalam perlawanan kedua mereka di Kompleks Sukan Berakas, esok sebelum menghadapi Singapura, Khamis ini.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tMWzAP3f
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan