Jumaat, 15 September 2017

Bola Shebby: Iktibar dari Palace

Serbegeth Singh
 
Ada perkara menarik berlaku di England apabila kelab Crystal Palace dari Liga Perdana Inggeris (EPL) memecat jurulatih selepas hanya empat perlawanan.

Keputusan memecat Frank de Boer menonjolkan beberapa soalan yang boleh dijadikan iktibar oleh bola sepak Malaysia tidak kira kelab atau pasukan kebangsaan.

Crystal Palace boleh dianggap sebagai kelab sederhana di EPL. Ia juga kelab yang sukar untuk menarik kehadiran pemain berkaliber, tetapi mengamalkan corak permainan British tulen.

Mereka berjaya kekal di EPL selama empat musim berturut-turut dengan memegang teguh kepada prinsip bola sepak British yang mengamalkan corak hantaran jauh.

Pengerusi kelab, Steve Parish ingin mengubah corak permainan supaya dapat bersaing di EPL dan lebih penting lagi, ia mampu menjamin masa depan pasukan.

Beliau mempunyai cita-cita itu kerana sedar saingan EPL makin berubah apatah lagi dengan jurulatih seperti Pep Guardiola, Jurgen Klopp dan Mauricio Pochettino yang sudah membawa perubahan supaya ia lebih seirama dengan bola sepak global.

Sekurang-kurangnya, Crystal Palace berani mengorak langkah ke arah bola sepak moden dan ia satu perjalanan yang memerlukan dua elemen penting.

Elemen pertama adalah untuk mencari seorang jurulatih yang memahami konsep permainan moden dan yang kedua, pemain juga perlu mampu memainkan corak yang dirancang.

Justeru, Crystal Palace melamar De Boer - seorang bekas pemain yang berasal dari Akademi Ajax yang terkenal antara pusat latihan terkemuka dalam arena bola sepak dunia. Beliau pernah bergelar antara pemain pertahanan terbaik dunia dengan gabungan skil, teknik serta minda yang tajam.

Beliau juga tonggak pertahanan dan sering menjadi penggerak utama yang menyusun serangan pasukan.

Di situlah bermulanya misi untuk membawa Crystal Palace ke tahap yang seterusnya menjadi cita-cita pengerusi kelab.

Akan tetapi, elemen kedua pula, pemain yang ada di kelab itu sekadar sederhana, tetapi lasak. Bagaimanakah cara untuk menerapkan falsafah permainan teknikal sedangkan mereka mempunyai pemain yang lebih selesa beraksi secara lasak?

Seterusnya, selepas tewas dalam empat perlawanan pertama EPL maka Parish sudah boleh dianggap berputih mata.

Sebagai pengerusi, maka evolusi yang menjadi impian terus gagal kerana tidak mempunyai pemain yang boleh membawa corak permainan yang di inginkan.

Dan di sinilah timbulnya persoalan bagi bola sepak kita, apakah hala tuju pasukan Liga-M kita? Apakah hala tuju bola sepak kebangsaan kita?

Perkara yang berlaku di Crystal Palace menunjukkan bahawa bola sepak Inggeris memerlukan satu falsafah permainan seperti di Jerman, Itali dan Sepanyol.

Kita pula tidak mempunyai falsafah permainan yang standard dan jelas kemasukan jurulatih dari luar tidak membawa faedah untuk jangkamasa panjang.

Apabila tidak mempunyai corak permainan yang ‘standard’ maka setiap jurulatih yang datang, baik kelab atau pasukan kebangsaan akan meninggalkan kelab atau pasukan mereka dalam keadaan lebih buruk.

Kolum ini sudah berulang kali menyebut contoh pasukan Kelantan serta Pahang di mana seorang pemain saja yang mampu membawa falsafah permainan. Penyerang, Dickson Nwakaeme sebagai contoh terbaik. Lambung saja bola kepadanya dan dengan pantas kita akan dapat lihat hasilnya.

Apa pula langkah seterusnya apabila pemain itu meninggalkan pasukan?

Kedua-dua pasukan membelanjakan jutaan ringgit untuk memperbaiki kemusnahan yang berlaku selepas Nwakaeme meninggalkan mereka, manakala jurulatih yang berjaya mencapai kejayaan bersama pemain itu kekal menjadi jurulatih, tetapi dengan nasib yang berbeza.

Kini kita lihat bagaimana pasukan kebangsaan kita beraksi dengan hantaran jauh di bawah bimbingan Nelo Vingada.

Kita juga dapat lihat bagaimana pasukan B-19 beraksi dengan corak serupa di Kejohanan AFF Bawah 19 di Myanmar.

Pasukan Bawah 23 pula kekal dengan tradisi bola sepak tulen British, tetapi sekurang kurangnya, Datuk Ong Kim Swee sudah mengorak langkah mengubah formasi permainan. Beliau harus dipuji kerana banyak membawa perubahan selepas kegagalan di Piala AFF Suzuki.

Realitinya pula, pasukan Bawah 23 bakal dibarisi pemain dari Bawah 19 yang gemarkan corak hantaran jauh dan sistem empat pemain pertahanan. Kim Swee akan gagal kerana terpaksa mengubah corak permainan serta mentaliti pemain yang bakal dibimbingnya.

Pemain yang melangkah ke skuad senior akan ‘digagalkan’ oleh Nelo Vingada kerana bukan mudah membimbing pemain yang sudah biasa dengan corak permainan yang beliau terapkan.

Apakah ertinya kesinambungan?

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 5:20 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan