Jumaat, 15 September 2017

Norizan tidak cari pengganti



ARKIB : 19/01/2007

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Jurulatih negara, Norizan Bakar memerlukan masa untuk mengkaji keperluan memanggil mana-mana tujuh muka baru ke skuad negara bagi mengharungi kempen separuh akhir Kejohanan Bola Sepak ASEAN (AFF), Selasa ini.

Beliau berkata, tujuh pemain simpanan dalam senarai awal 30 orang yang didaftarkan ke kejohanan itu, masih berpeluang untuk dipanggil ekoran penggantungan benteng kiri, Irwan Fadzli Idrus yang dibuang padang menentang Thailand, Selasa lalu.

“Saya akan tengok dulu keperluannya dalam latihan (di Wisma FAM). Kami ada ramai pemain selain 22 orang sepanjang persaingan peringkat Kumpulan A di Bangkok lalu dan tidak semestinya Chan Wing Hoong atau Ronny Harun dan Azizi Mat Rose (pertahanan) akan menggantikan Irwan.

“Saya cuba untuk tidak menyekat semangat sepasukan dan gandingan sekarang yang sudah cukup kuat tetapi walau siapa pun nanti, perlu menjalankan tugas yang diamanahkan dengan terbaik,” katanya yang menyaksikan perlawanan Kumpulan A antara Singapura dengan Indonesia, kelmarin.

Sebelum ke Bangkok, Rosdi Talib yang juga bek kiri Pahang dinamakan dalam senarai tujuh simpanan itu di samping S. Subramaniam, Ahmad Azlan Zainal, Nor Farhan Muhammad, Norshahrul Idlan Talaha, Syed Adney Syed Hussein dan Nasril Nourdin - penjaga gol yang digugurkan.

Selaku naib juara Kumpulan A, anak didik Norizan menempah pertemuan pertama separuh akhir dengan Singapura di Stadium Shah Alam, Selasa ini sebelum bertandang ke Stadium Nasional di republik itu pada 27 Januari ini.

Malaysia mara setelah menewaskan Filipina 4-0, seri tanpa jaringan dengan Myanmar dan kalah 1-0 kepada Thailand. Juara Kumpulan A itu akan menentang Vietnam di Hanoi, Rabu ini sebelum menjadi tuan rumah semula, 28 Januari.

Mengenai Singapura, katanya, republik jiran itu yang juga juara bertahan masih seperti Thailand yang kerap kali ditentang Malaysia dan masing-masing mempunyai kemampuan yang setanding berdasarkan rekod pertemuan lalu.

“Apabila kemampuan begitu rapat, kami perlu menggandakan usaha untuk memastikan kemenangan dan mengatasi yang mana silap di peringkat kumpulan,” katanya yang memberikan pelepasan sehari kepada skuad negara sebelum menyambung latihan, hari ini.

Dua pertemuan terakhir mereka pada tahun lalu menyebelahi Singapura menerusi penentuan penalti, 5-4 dan 8-7 dalam perlawanan persahabatan. Malaysia menewaskan jiran 4-0 dalam Piala Tiger 2002 dengan salah satunya hasil jaringan Nizaruddin Yusof.

Mengenai lima pemain kelahiran asing yang memperkuatkan Singapura, katanya: ‘‘Ramai pemain Malaysia pun sudah biasa menentang mereka yang seumpama itu dalam Liga Super atau Perdana. Kita tetap turun dengan semangat sepasukan, bukan cuma berharapkan individu tertentu.’’

Antara pemain ‘import’ skuad lawan bimbingan Radojko Avramovic dari Serbia ialah Shi Jia Yi, Mustafic Fahrudin, Daniel Bennett, Precious Emuejeraye, Itmi Dickson dan Mirko Grabovac. Singapura menjuarai Kumpulan B dengan seri 0-0 dengan Vietnam, 2-2 dengan Indonesia dan membelasah Laos 11-0.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4skG8PQ1Y
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan