ARKIB : 30/06/2007
KUALA LUMPUR Jurulatih
merangkap Pengarah Teknikal Bola Sepak Jamaica, Bora Velibor Milutinovic
menganggap tiada seorang pun pemain Malaysia yang mengagumkannya pada
perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
Jurulatih yang menerajui lima
negara ke lima pusingan akhir Piala Dunia berturut-turut sejak 1986 ini
menghormati kemampuan anak buah Norizan Bakar tetapi mendapati kebanyakan
pemain Malaysia bermain dengan tekanan yang besar sebelum menyerah 2-0 kepada
anak buahnya.
Anda tanya siapa dia,
jawapannya saya tidak nampak yang bagus, mereka sukar mengagumkan saya. Saya
menghormati pemain anda tetapi saya lihat dan berpendapat, mereka bermain
dengan tekanan besar, katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan persediaan
Malaysia ke Piala Asia, bulan depan itu.
Milutinovic mengakui Malaysia
mencipta beberapa peluang jaringan pada babak kedua tetapi baginya, ia sekadar
bertaraf biasa kerana suasana sebenar Piala Asia jauh berbeza dengan perlawanan
persahabatan seperti kelmarin.
Malaysia ada peluang
menjaringkan gol tetapi corak permainan sebegitu tiada apa bagi saya. Ini cuma
persahabatan dan pemain banyak bertukar dan diuji jurulatih tetapi saya harap
Malaysia akan lebih bernasib baik (apabila menentang China, 10 Julai), katanya.
Tegasnya, Malaysia perlu
membuat persediaan segera dan seterbaik mungkin seolah-olah mahu menentang
China esok dan bukannya cuma menganggap perlawanan pertama itu masih berbaki 11
hari lagi.
Secara jujur, Milutinovic dari
Serbia yang melatih Mexico, Amerika Syarikat, Costa Rica, Nigeria dan China
sehingga 2002 ini menyarankan penonton tempatan supaya hadir beramai-ramai di
stadium dalam membantu menghasilkan tenaga positif baru kepada skuad negara.
Kepada orang ramai, bantulah
pemain anda kerana tiga perlawanan dengan China, Uzbekistan dan Iran (Kumpulan
C) itu amat penting dan bukan mudah dalam Piala Asia. Anda masih boleh
melakukannya tetapi mestilah secara bersama dan sokonglah pasukan anda,
katanya.
Piala Asia penting bagi
Malaysia untuk mengetahui di mana pasukannya. Semua orang mahu menang tetapi
realitinya sukar apatah lagi dengan Iran, katanya yang mengagumi Stadium
Nasional tetapi bukan dengan kedatangan hambar 4,000 penonton kelmarin.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4uB4Nw0Bo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan