Sabtu, 23 September 2017

Kita dimalukan pasukan tercorot -- Misi Malaysia ke pusingan akhir Sukan Olimpik makin mustahil



ARKIB : 19/04/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
Bek tengah Malaysia, Aidil Zafuan Razak (tengah) meloloskan diri daripada kepungan dua pemain pertahanan Hong Kong pada perlawanan Kumpulan B kelayakan Sukan Olimpik di Stadium Petaling Jaya, malam tadi. Malaysia kalah 0-1. – Gambar HALIM KHALID.

PETALING JAYA – Hasrat Malaysia untuk mencerahkan peluang layak ke Sukan Olimpik 2008 kian pudar apabila tewas 0-1 kepada Hong Kong dalam perlawanan kelayakan bola sepak Kumpulan B, semalam.

Bermain di Stadium Petaling Jaya itu, gol awal Yip Chi Ho ternyata menghampakan anak buah B. Sathianathan untuk meraih tiga mata berharga bagi memperbaiki kedudukan.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan akhir Sukan Olimpik di Beijing tahun depan di mana Malaysia kekal menghuni tangga ketiga daripada empat pasukan.

Skuad negara kini berdepan misi yang hampir mustahil untuk mara ke pusingan akhir itu apabila perlu menang dalam baki dua perlawanan menentang Syria di tempat sendiri dan pilihan utama, Jepun di tempat lawan pada Mei dan Jun ini.

Malaysia sebelum ini kalah dalam pertemuan dengan Syria (3-1) dan Jepun (2-0).

Hong Kong walaupun sudah tidak mempunyai harapan untuk layak pantas mengejut Malaysia hanya selepas seminit wisel permulaan dibunyikan menerusi jaringan Yip Chi Ho.

Ketika pemain Malaysia belum bersedia menyusun barisan, Chi Ho menyambut sepakan percuma lambung dan terus melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol negara, Farizal Marlian.

Gol pelawat itu bagaimanapun menaikkan semangat anak buah B. Sathiantahan untuk bangkit menyamakan kedudukan.

Malangnya, tidak banyak percubaan berbahaya Malaysia dapat dihasilkan untuk menguji penjaga gol pelawat, Li Jian.

Pada minit ke-20, pemain Hong Kong, Cheng Lai Hin nyaris menambah luka tuan rumah dengan satu rembatan kaki kanan tetapi mujur ia tersasar.

Terdesak untuk mencari gol serta mata berharga, Sathianathan memasukkan penyerang yang baru pulih daripada kecederaan, Zaquan Adha Razak pada minit ke-33.

Kemasukannya menggantikan Farderin Kadir menghidupkan barisan tengah dan serangan Malaysia yang diterajui Sabre Mat Abu dan Amirulhadi Zainal.

Namun, gol yang dicari-cari masih tidak kunjung tiba, malah percubaan solo Sabre pada minit ke-40 berjaya diselamatkan benteng lawan.

Hanya selepas 50 minit permainan, barulah Malaysia memperoleh sepakan sudut pertama tetapi ia langsung tidak mendatangkan ancaman kepada Hong Kong.

Malah, Malaysia terus hampa apabila percubaan terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Safiq Rahim berjaya ditepis keluar oleh Li Jian pada minit ke-61.

Pada minit ke-72, Zaquan nyaris menceriakan tuan rumah ketika berdepan satu sama satu dengan Li Jian tetapi sepakannya sempat diselamatkan oleh penjaga gol Hong Kong itu yang pantas meluru keluar.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tWgkptl7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan