ARKIB : 16/05/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
PENYERANG skuad Olimpik negara,
Zaquan Adha Abdul Razak (kanan) menjadi sandaran utama untuk memburu gol dalam
pertemuan hidup mati dengan Syria di Petaling Jaya, malam ini.
PETALING JAYA Malaysia
mengharapkan keajaiban apabila menghadapi Syria dalam usaha mencerahkan semula
peluang yang semakin tipis ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik, hari ini.
Berpegang kepada teori - apa
sahaja boleh berlaku dalam bola sepak, jurulatih negara, B. Sathianathan,
semalam beranggapan bahawa peluang anak buahnya masih ada biarpun situasi dan
kedudukan mata sekarang kurang menyebelahi mereka.
Keajaiban boleh berlaku
sebagaimana Malaysia yang boleh kalah kepada Hong Kong walaupun pada hakikatnya
kita bermain lebih baik dan menguasai perlawanan (1-0 di Petaling Jaya pada 18
April lalu), katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Malaysia menduduki tempat
ketiga kumpulan di belakang Jepun dan Syria dalam Kumpulan B selepas turut
kalah 2-1 dan 3-1 kepada kedua-duanya sejak 28 Februari lalu selain meraih tiga
mata dengan menumpaskan Hong Kong 1-0 di gelanggang lawan, Mac lalu.
Skuad belia negara perlu
memenangi baki dua perlawanan ini untuk mara ke pusingan akhir sebagai naib
juara kumpulan dan mengiringi Jepun yang sudah layak dengan 12 mata, sambil
berharap keputusan kurang baik tiga lawan mampu membantunya.
Kata Sathianathan:Kali ini
kami juga memiliki semula semua pemain yang terbaik kecuali (penyerang
Samransak Kram yang tercedera) dan saya yakin anak buah saya menuju ke landasan
yang tepat untuk tetap memburu kemenangan.
Kesilapan
Kami telah belajar daripada
kesilapan lalu yang tidak sepatutnya dilakukan sehingga melepaskan gol mudah.
Kami juga mahu mengatasi masalah terbesar iaitu gagal menjaringkan gol yang
lebih banyak, katanya.
Sathianathan merujuk khusus
kepada dua gol mudah Syria di Damsyik lalu akibat kesilapan dua anak buahnya
(termasuk hatrik Mohammed Ebrhim) biarpun Malaysia yang melancarkan banyak
serangan di sebalik cuma menggunakan seorang penyerang, Azril Hamid.
Analisis saya selepas empat
perlawanan kumpulan ini membayangkan Syria masih mampu diatasi asalkan corak
permainan kita sebaik ketika menentang Jepun (di Petaling Jaya pada 14 April
lalu) sekalipun kita kalah 2-1, tegas beliau.
Katanya, tanpa Samransak yang
tercedera ketika Liga Malaysia, penyerang remaja Negeri Sembilan, Zaquan Adha
Razak akan diberi
kepercayaan untuk memburu gol
skuad negara sambil bergandingan dengan Azril atau Norshahrul Idlan Talaha.
Sementara itu, pegawai
Persatuan Bola Sepak Syria, Turki Yasin berkata, mereka akan mencuba habis-habisan
untuk menang malah masih menganggap perlawanan ini penting bagi mara ke
pusingan akhir selepas mengutip enam mata.
Kami benar-benar mahu menang
biarpun cukup menyedari Malaysia masih mempunyai peluang untuk turut ke
pusingan akhir, katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u4X7CVpO
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan