Sabtu, 30 September 2017

Ujian sebenar jumpa UAE



ARKIB : 21/06/2007

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
 BRUNO Metsu (kiri) menunjukkan taktik pasukan kepada pemain UAE pada sesi latihan di Stadium Petaling Jaya, semalam menjelang perlawanan persahabatan menentang Malaysia, malam ini. – Gambar ZHAFARAN NASIB.

PETALING JAYA – Kemantapan kesebelasan utama dan kemampuan skuad negara menghadapi lawan yang lebih handal bakal diuji pada perlawanan bola sepak persahabatan menjelang Piala Asia dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE), malam ini.

Selepas merehatkan sebahagian besar tonggak kerana kempen separuh akhir Piala FA ketika mengganyang Kemboja 6-0, Isnin lalu, Malaysia perlu mempertaruhkan semula gandingan serangan seperti Akmal Rizal Rakhli-Safee Sali selain Shukor Adan, Fadzli Shaari, Fauzie Nan dan V. Thirumurugan.

Reputasi UAE selaku juara Piala Teluk Januari lalu, naib juara Piala Asia 1996, berpengalaman Piala Dunia 1990 dan menghuni ranking ke-94 dunia selain dilatih oleh bekas jurulatih Senegal, Bruno Metsu (nama Islamnya, Abdel Kareem Metsu) memadai untuk memaksa Malaysia menurunkan barisan terbaik di Stadium Petaling Jaya nanti.

Azizon Kadir tetap akan mengawal gawang Malaysia semula sambil dibantu oleh ketua pasukan, Khaironnisam Sahabuddin Hussain dan K. Nanthakumar sebagai bek tengah selain Thirumurugan dan Rosdi Talib yang cemerlang ketika melawan Kemboja, mengapit kanan dan kiri mereka.

Bahagian tengah bakal menempatkan semula Norhafiz Zamani Misbah selaku pemain tengah bertahan bersama-sama Shukor manakala Hardi Jaafar antara yang turut menonjol dengan Kemboja, bermain selaku sayap kiri dan Hairuddin mungkin kembali ke sayap kanan.

Namun Norizan masih menanti saat akhir untuk menetapkan kesebelasan utama biarpun gandingan Pahang, Indra Putra Mahyuddin dan Hairuddin agak tumpul sehingga memerlukan pemain bukan penyerang seperti Rosdi, Aidil Zafuan Razak, Eddy Helmi Manan dan Nor Farhan Muhammad membolosi Kemboja.

“Barisan serangan perlu menunaikan tugas mereka apabila peluang terhidang tetapi bukan bererti tempat Akmal dan Safee sudah terjamin (menentang UAE). Malah saya perlu pastikan benteng yang terbaik untuk menangani tekanan lawan nanti.

“Semuanya masih bergantung kepada sejauh mana prestasi dalam sesi latihan terakhir dan bagaimana mereka menghadapi situasi perlawanan,” katanya yang menerajui skuad negara mengharungi Kumpulan C Piala Asia dengan Iran, China dan Uzbekistan, bulan depan.

Sementara itu, UAE yang menganggotai Kumpulan B dengan juara bertahan, Jepun, Qatar dan satu lagi tuan rumah, Vietnam, menganggap aksi malam ini bertujuan mengukur sejauh mana persediaan pasukan yang hanya dapat dikumpulkan sejak dua minggu lalu.

“Kami kehilangan tujuh tonggak kerana tercedera dan menggantikannya dengan enam pemain skuad Olimpik tetapi tetap menampilkan Ismail Matar (penjaring terbanyak dan Pemain Terbaik Piala Teluk di UAE) ke Piala Asia,” kata penolong jurulatih, Abdulla Hassan Abdulla di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Katanya, UAE kurang mengetahui kemampuan sebenar Malaysia kerana banyak yang sudah berubah.

Mengikut rekod dalam laman web FIFA.com, kedua-dua pasukan pernah bertemu pada Pestabola Merdeka 1982 yang menyaksikan Malaysia menang 1-0.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u9tAAJkR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan