Ahad, 10 September 2017

7 pemain dipanggil



ARKIB : 29/12/2006
7 pemain dipanggil

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

Rastislav Bozik (dua dari kanan) melakukan senaman unik dengan Nasril Nourdin dalam sesi latihan skuad bola sepak negara untuk menghadapi Kejohanan AFF di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

PETALING JAYA – Tujuh lagi pemain akan dipanggil untuk menggenapkan skuad 30 pelatih kebangsaan dalam menghadapi Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Bangkok, Thailand dari 12 Januari hingga 4 Februari ini.

Kehadiran mereka yang dinilai daripada persembahan sepanjang Liga Malaysia ketika ini, bakal memberikan lebih banyak pilihan kepada ketua jurulatih negara, Norizan Bakar untuk mencari 20 pemain yang terbaik ke sana.

“Kami ada 23 pelatih sekarang tetapi 30 yang diperlukan sebelum memilih senarai terakhir seramai 20 orang ke Bangkok pada 10 Januari ini,” katanya selepas sesi latihan hari pertama di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Tanpa menamakan sesiapa, Norizan berkata, ciri utama pemilihan mereka juga banyak bergantung kepada kekerapan mengisi kesebelasan utama pasukan masing-masing dalam Liga M yang telah melalui antara tiga hingga empat perlawanan sejak 16 Disember.

Malaysia menganggotai Kumpulan A Kejohanan AFF edisi keenam atau dulunya Piala Tiger dengan juara tiga kali, Thailand selain Myanmar dan Filipina - naib juara pusingan kelayakan yang kali pertama diadakan di Bacolod City, bulan lalu.

Pencapaian terbaik skuad negara ialah bergelar naib juara di Singapura pada 1996 sementara bagi musim 2004-2005, anak didik Bertalan Bicskei menduduki tempat ketiga setelah menewaskan Myanmar 2-1.

Sesi latihan semalam turut menyaksikan kembalinya tonggak lama - Nizaruddin Yusof, Hairuddin Omar, Shukor Adan dan Irwan Fadli Idrus bersama skuad negara selepas lebih setahun diketepikan.

Dikendalikan oleh jurulatih kecergasan, Rastislav Bozik dari Czech, sesi melibatkan 18 pelatih termasuk tujuh pemain skuad Sukan Asia Doha itu, bagaimanapun cuma menekankan latihan ringan ke arah pemulihan fizikal dan kecergasan hampir dua jam.

Lima pelatih dikecualikan iaitu Azizi Mat Rose, Fauzi Nan, Khyril Muhymeen Zambri, Nor Farhan Mohamad dan Syamsuri Mustafa akibat kesuntukan masa setelah mengharungi perlawanan Liga Super melibatkan Terengganu-Kedah dan Perlis-DPMM Brunei kelmarin.

Kata Norizan, kesemua pelatih hanya akan bercuti sehari sempena Aidiladha, Ahad ini tetapi yakin masih mempunyai masa yang mencukupi untuk menyediakan pasukan terbaik senior negara yang kali terakhir bermain dan menduduki tempat ketiga dalam Pestabola Merdeka, Ogos lalu.

“Pasukan lain khabarnya mengadakan persediaan lima minggu tetapi saya fikir ia bukan satu masalah besar kami,” kata bekas penolong Abdul Rahman Ibrahim yang membawa Malaysia menduduki tempat ketiga Piala Tiger 2000 di Songkhla, Thailand.

Katanya, skuad pelatih negara juga tidak dapat mengadakan sebarang perlawanan persahabatan biarpun dengan pasukan tempatan sebagai pemanas badan ke Kejohanan AFF kerana masing-masing turut sibuk dengan persediaan mereka dalam Liga Malaysia.

Namun menurut laman web Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) baru-baru ini, skuad republik itu merancang satu perlawanan persahabatan dengan anak didik Norizan pada minggu pertama bulan depan di Malaysia sebelum menyertai Kejohanan AFF di Singapura.

Indonesia yang dibimbing Peter Withe, menganggotai Kumpulan B dengan juara bertahan, Singapura, Vietnam dan Laos, juara kelayakan di Bacolod City. Malaysia dan Indonesia seri 1-1 dalam pertemuan terakhir mereka pada Pestabola.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sHmEmnZX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan