ARKIB : 02/11/2006
BANGALORE Peluang yang dicari
untuk membuat kejutan tidak kesampaian sebaliknya perjuangan skuad Malaysia
Bawah 20 tidak sampai seminggu di Bangalore selepas berlatih hampir dua tahun
selain mendapat pendedahan terbaik di Brazil berakhir semalam.
Tidak ada apa yang mampu
diungkapkan melihat anak didik K. Rajagopal mudah dijinakkan oleh pasukan
pilihan Arab Saudi yang menang 2-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D pada
Kejohanan Bola Sepak Belia AFC di Stadium Sree Kanteerava.
Dua gol menerusi jaringan Mohamed
Al Sahlawi dan Ali Ataif pada setiap babak meleburkan terus impian menggunung
Rajagopal untuk melihat anak didiknya melangkah ke peringkat seterusnya.
Gol pertama Arab Saudi yang
pernah muncul juara sebanyak dua kali pada 1986 dan 1992 dihasilkan pada minit
ke-13 hasil sepakan percuma Al Sahlawi.
Manakala gol kemenangan skuad
itu dicipta oleh Ataif pada minit ke-60 sekali gus anak didik Rajagopal
memahatkan kekalahan kedua selepas tewas 2-1 kepada Vietnam pada perlawanan
pertama.
Aksi terakhir Malaysia adalah
menentang juara lima kali Iraq sekadar melengkapkan jadual yang sudah diatur.
Lebih malang buat skuad
Malaysia gagal mengambil kesempatan ke atas Arab Saudi yang pincang beraksi
dengan sepuluh pemain ketika perlawanan berbaki 13 minit untuk ditamatkan.
Pemain gantian Arab Saudi,
Ahmed Al Fraidi dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan selepas dia
mengkasari ketua pasukan Malaysia, Mohamed Aidil Zafuan Abd. Razak.
Buat Arab Saudi kemenangan
tersebut melegakan mereka untuk mencerahkan laluan ke pusingan seterusnya
setelah mereka sekadar terikat 2-2 ketika berdepan Iraq dalam perlawanan
pembukaan.
Tidak ada apa yang mampu
dibanggakan melihat aksi kesebelasan utama pilihan Rajagopal longlai beraksi
dalam keadaan gementar seperti mana rapuhnya mereka ketika ditewaskan oleh
Vietnam Isnin lepas.
Puluhan ribu ringgit
dibelanjakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengharapkan sinar baru
pemain muda B-20 menebus kemerosotan skuad kebangsaan tetapi segalanya musnah
tidak sampai seminggu.
Tidak banyak perubahan
dilakukan oleh kedua-dua pasukan dalam kesebelasan utama ketika jurulatih Arab
Saudi, Gilson Nunes membuat perubahan di bahagian tengah meletakkan Ali Ataif
bergandingan dengan Ahmed Al Fraidi dan Abdulaziz Al Dawsari serta Ahmad Kabee.
Manakala Rajagopal yang
melaungkan rasa resah sebelum perjuangan bermula kerana kehilangan enam tonggak
utama menggantikan Mohd. Nasriq Baharom dengan Mohd. farid Ramli di pertahanan
kanan.
Namun perubahan itu tidak
mengubah corak permainan skuad Malaysia yang jelas terumbang ambing sejak dari
wisel bermula.
Lawan memberi tekanan awal ke
benteng pertahanan Malaysia namun kecekapan penjaga gol, Abdul Hadi Abdul Hamid
berjaya ditepis keluar hasil rembatan Aqeal Al Qarnis.
Anak didik Rajagopal sepatutnya
mengejutkan Arab Saudi dengan gol awal dua minit selepas itu dihampakan sepakan
meliar Safiq Rahim walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol, Hussain Shaian.
Selepas itu Malaysia gagal
mencipta peluang terbaik ketika Arab Saudi mendominasi babak perlawanan.
Setelah Al Sahlawi dijatuhkan
di luar kotak penalti oleh pertahanan Malaysia ia membawa padah apabila pemain
kelab Al Qadsiya meledakkan sepakan percuma terus menerjah ke penjuru kanan
gawang menewaskan Abdul Hadi.
Arab Saudi tergamam seketika
gara-gara kesilapan pertahanannya Ali Ataif hampir-hampir membawa padah apabila
percubaan Mohd. Khyril Muhymeen ditampan tetapi bola lantunan itu mengenai
palang sebelum bergolek keluar.
Kecekapan Abdul Hadi sekali
lagi menjadi penyelamat apabila menolak keluar sepakan kencang Al Sahlawi pada
minit ke-30 dan tandukan Naif Hazazi lima minit sebelum rehat.
Ketika aksi kedua-dua pasukan
sedikit terjejas selepas hujan lebat peluang itu disempurnakan dengan baik oleh
Arab Saudi untuk meledakkan jaringan kedua menerusi Ataif.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4sAtF69gh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan