ARKIB : 27/01/2007
Oleh: AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR Malaysia
selangkah kaki untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak ASEAN tetapi
perlu mengharungi tempoh 90 minit yang cukup mendebarkan lagi sengit berdepan
penyandang juara, Singapura dalam saingan separuh akhir kedua di Stadium
Nasional, Singapura, malam ini.
Sukar untuk meramalkan peluang
Malaysia apa lagi berdepan lawan yang dianggap kental dan ampuh dengan
kelebihan bermain di tempat dan penyokong seramai 55,000 yang dijangka memenuhi
setiap ruang di stadium tersebut.
Atas kertas, Singapura memiliki
segala kelebihan biarpun pada saingan separuh akhir pertama di stadium Shah
Alam Selasa lalu, mereka nyaris dikejutkan dengan kekalahan apabila sekadar
seri 1-1.
Buat skuad kebangsaan yang
sebelum ini dilemparkan pelbagai kritikan dan cemuhan, namun aksi bertenaga
mereka di stadium Shah Alam Selasa lalu, sedikit memberi keyakinan kepada
pemerhati dan peminat betapa anak didik Norizan Bakar mampu melakar kejutan.
Kemenangan yang bakal diraih
oleh skuad kebangsaan sedikit sebanyak akan dapat memulihkan maruah bola sepak
negara dan barisan skuad bimbingan Norizan daripada terus dilemparkan dengan
pelbagai kritikan pedas.
Persoalannya, mampukah skuad
Norizan melangkah ke perlawanan akhir sekali lagi mengulangi kejayaan bekas
jurulatih Wan Jamak Wan Hassan yang layak ke akhir pada 1996 tetapi dinafikan
oleh jaringan tunggal Kiatisuk Senamuang buat Thailand muncul juara edisi
pertama di Stadium Nasional, Singapura.
Kami berada di sini kerana
kami berhak pada peringkat ini. Kini terpulang kepada pemain untuk menentukan
peluang kita untuk menang ke atas Singapura dan layak ke akhir.
Tidak timbul pemain saya
gentar berdepan Singapura di tempat mereka sendiri. Kami bermain baik pada
separuh akhir pertama dan ia akan berterusan malam ini (esok).
Dan pemain saya tahu kami
perlu menang untuk layak ke akhir dan mereka sanggup bermain mati-matian untuk
merealisasikan impian itu, ujar Norizan, semalam.
Apa pun, ia akan berkisar
sepanjang tempoh 90 minit babak berlangsung bakal menentukan untung nasib skuad
kebangsaan untuk mencari tempat ke perlawanan akhir secara timbal balik pada 31
Januari dan 4 Februari ini.
Melihat prestasi anak didik
Norizan pada saingan separuh akhir pertama, aksi bertenaga itu jika dapat
dikekalkan, pastinya peluang untuk menewaskan Singapura adalah cerah.
Jurulatih negara pastinya tidak
akan membuat sebarang rombakan ke atas kesebelasan utama ketika mengikat
Singapura dengan keputusan seri 1-1 tempoh hari.
Apa yang merisaukan adalah
bahagian serangan yang dikemudi oleh dua pemain veteran, Mohd. Nizaruddin Yusof
dan Hairuddin Omar yang jelas kurang menyengat sewaktu berdepan penyandang
juara pada separuh pertama yang lalu.
Gandingan dua jentera serangan
itu jelas tidak berupaya menembusi benteng ampuh Singapura sebaliknya jaringan
cantik pemain tengah Muhammad Hardi Jaafar menjadi penyelamat.
Bagaimanapun, Norizan masih
mempunyai pilihan untuk memantapkan jentera serangan jika mempertaruhkan
harapan kepada Sanramsak Kram yang tampak bertenaga sewaktu dimasukkan
menggantikan Mohd. Nizaruddin.
Malah, jurulatih negara
mengakui betapa gandingan serangan kurang menyerlah.
Namun, ketiadaan ketua pasukan
Singapura, Aide Iskandar Sahak yang juga tonggak di bahagian pertahanan selepas
mengutip dua kad kuning Selasa lalu, seharusnya memberi khabar gembira kepada
jentera serangan skuad negara.
Selebihnya, Norizan pasti tidak
gusar dengan gandingan dikemudi oleh Muhammad Shukor Adan, Muhammad Hardi, K.
Nanthakumar dan Eddy Helmi Manan akan sekali lagi mendominasi bahagian tengah
sambil mencipta ruang dan peluang untuk menghasilkan gol.
Selain itu, keampuhan benteng
diterajui oleh ketua pasukan, Mohd. Khaironnisam bersama V. Thirumurugan,
Norhafiz Zamani Misbah dan Fauzi Nan diyakini mampu menyekat kemaraan penjaring
terbanyak Singapura, Mohd. Noh Alam Shah dan Indra Shahdan Daud daripada terus
menemui sentuhan jaringan.
Jika kesebelasan utama skuad
kebangsaan dapat mengelak daripada melakukan kesilapan dan mengamalkan corak
menyerang dari awal, peluang kita untuk menewaskan Singapura adalah cerah.
Apa kata mereka
Saya jangka pertemuan pasukan
kebangsaan dan Singapura sengit. Ini kerana Malaysia bertandang ke sana tanpa
bekalan gol.
Namun begitu, saya percaya
kepada para pemain kita yang mereka akan memberikan persembahan terbaik dan
jika menang pun saya ramal gol yang dijaringkan tidaklah jauh.
Pengurus Pasukan Pahang,
ZAINAL ABIDIN HASSAN
Bermain di gelanggang lawan
bukanlah satu kesukaran dan tiada pasukan sebenarnya mempunyai kelebihan pada
pertemuan itu nanti kerana semuanya ibarat bermula 0-0.
Namun, jika pasukan negara
mampu mempamerkan corak permainan seperti yang ditunjukkan Selasa lalu, saya
meramalkan Malaysia boleh memenangi perlawanan kedua nanti dengan satu gol.
Ketua Jurulatih Kedah, MOHD.
AZRAAI KHOR ABDULLAH
Skuad negara tentunya mempunyai
semangat juang yang tidak mungkin dapat dipatahkan dengan hanya teriakan penonton.
Di mana gelanggang tak
penting kerana yang pasti berbekalkan semangat waja segala halangan pasti dapat
dipatahkan dengan mudah.
Presiden Persatuan Bolasepak
Terengganu, DATUK CHE MAT JUSOH
Singapura tidaklah sehebat mana
tetapi hanya gah dengan pemain asing. Tanpa mereka pasukan negara itu tidak
memiliki apa- apa keistimewaan.
Saya harap pasukan kebangsaan
kita tidak perlu takut berhadapan dengan pasukan itu di negara mereka kerana
apa yang pasti Singapura lebih tertekan kerana perlu menang di Stadium
Nasional.
Jika dilihat pada perlawanan
lalu, penyokong masih ramai. Justeru pasukan negara sebenarnya masih mempunyai
penyokong. Ramalan saya Malaysia menang 1-0.
Jurulatih Telekom Melaka,
IRFAN BAKTI
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4spT1ZXm8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan