ARKIB : 20/06/2007
Oleh AMRAN MULUP
SHAH ALAM Jurulatih
kebangsaan, Norizan Bakar tidak bimbang dengan keupayaan jentera serangan yang
menyempurnakan enam jaringan daripada 21 peluang ketika menewaskan Kemboja
dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Sebaliknya jurulatih itu,
tampak lebih gembira dengan kemenangan 6-0 ke atas Kemboja daripada
memperkatakan kekuatan sebenar jentera serangan yang diterajui oleh Hairuddin
Omar dan Indra Putra Mahayuddin.
Mengapa mesti saya tidak puas
hati dengan jentera serangan? Apakah perlu 21 peluang yang terhidang semua
mesti menghasilkan gol ujar Norizan.
Menerusi gandingan pemain
Pahang itu, hanya Hairuddin menyumbangkan gol.
Manakala Indra Putra
terkial-kial cuba memahatkan nama sebagai penjaring ketika peluang terhidang
silih berganti gagal dimanfaatkan.
Peluang terbaik Indra Putra
hadir seminit selepas babak kedua, apabila mengelecek dua pertahanan Kemboja
dan berdepan dengan Samreth Seiha tetapi gopoh dengan bola sepakannya mudah
masuk dalam dakapan penjaga gol itu.
Norizan merehatkan Akmal Rizal
Ahmad Rakhli dan Safee Sali selepas kedua-dua pemain Selangor itu keletihan
selepas mengharungi aksi separuh akhir Piala FA, Sabtu lepas.
Hanya jaringan pemain
pertahanan, Rosdi Talib meledakkan sepakan dari jarak 30 meter menggegar jaring
lawan pada minit ke-23 memulakan pesta gol skuad kebangsaan.
Lima gol lagi menerusi Eddy
Helmi Manan (61, 88), Mohd. Ivan Yusoff (47), Hairuddin (58) dan Muhamad Aidil
Zafuan pada minit ke-90.
Saya lega dengan kemenangan
ini dan ia memberi kesan positif kepada pemain menjelang dua lagi perlawanan
persahabatan menentang UAE dan Jamaica.
Sekurang-kurangnya saya
perlukan keputusan dan kemenangan ini menjadi detik permulaan, ujar Norizan.
Begitupun Norizan belum
memikirkan kesebelasan utama yang bakal menggalas cabaran negara apabila
memulakan kempen Piala Asia menentang China 10 Julai ini.
Dalam aksi kelmarin, Norizan
mempertaruhkan Hardi Jaafar, Rezal Zambery Yahya, Norhafiz Zamani Misbah dan
Shahrulnizam Mustafa untuk mengemudi bahagian tengah dan ia ternyata berkesan.
Begitu juga benteng pertahanan
dengan menggandingkan Muhammad Kaironnisam, K. Nanthakumar, Rosdi Talib dan
Mohd. Hamzani Omar dianggap kental mengekang serangan Kemboja.
Penjaga gol Azizon Kadir pula
nyata tidak teruji sebelum dia digantikan dengan Mohd. Suffian Abdul Rahman
pada babak kedua.
Untuk aksi UAE dan Jamaica,
saya akan menurunkan Akmal Rizal, Safee Sali, Fadzli Saari, ujarnya.
Dalam saingan Piala Asia,
Malaysia diletak dalam Kumpulan C bersama China, Uzbekistan dan Iran.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4u9rcqLnt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan