ARKIB : 28/06/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR Bukan Safee Sali
atau Indra Putra Mahayuddin tetapi Nor Farhan Muhammad yang bakal mengisi
gandingan serangan Malaysia apabila menentang Jamaica dalam perlawanan
persahabatan menjelang pusingan akhir bola sepak Piala Asia, malam ini.
Pemain Terengganu itu kini
disebut- sebut bakal mendapat kepercayaan untuk bergandingan dengan Hairuddin
Omar selepas Malaysia kehilangan sementara Akmal Rizal Ahmad Rakhli akibat
kecederaan lutut kanan pada separuh akhir Piala FA, Sabtu lalu.
Sesi latihan sejak beberapa
hari lalu, menumpukan gandingan terbaru ini sekalipun jurulatih negara, Norizan
Bakar seperti resminya, akan terus berahsia dan membiarkan semua pihak menanti
sehingga wisel permulaan pertemuan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.
Nor Farhan hanya diturunkan
sebagai pemain gantian ketika Malaysia mengganyang Kemboja 6-0 dan kalah 3-1
kepada Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan persahabatan di Shah Alam dan
Petaling Jaya, 18 Jun lalu dan tiga hari kemudian.
Bagaimanapun Pemain Muda Terbaik
Anugerah Bola Sepak Malaysia 2006 ini sempat mencipta beberapa umpanan jaringan
dan nyaris membolosi Kemboja dalam salah satu gerakan pantas yang terkena tiang
gol.
Dia masuk menggantikan Indra
Putra dan bermain selama 35 minit ketika menentang Kemboja dan mengambil alih
tempat Ivan Yusoff apabila menghadapi UAE tetapi penampilan dalam kesebelasan
utama dengan Jamaica, bekas peserta Piala Dunia 1998 pasti satu kejutan
baginya.
Sayap kanan dijangka menjadi
milik tetap Eddy Helmi Manan, penyumbat dua gol ke atas Kemboja dan pengumpan
jaringan yang membolosi UAE lalu manakala sayap kiri menempatkan pemain kidal
kreatif Telekom, Hardi Jaafar.
Norizan juga dijangka tidak
banyak mengubah posisi tengah sekiranya menggunakan formasi 4-2-3-1 dengan
kembali mempertaruhkan Shukor Adan dan Norhafiz Zamani Misbah tetapi empat
tulang belakang yang kurang mantap dengan UAE lalu menuntut sedikit rombakan.
Kini perebutan bek tengah ialah
antara Aidil Zafuan Razak dengan Nazrulerwan Makmor untuk membantu ketua
pasukan, Khaironnisam Sahabuddin Hussain sambil Fauzie Nan dan Rosdi Talib
semakin pasti mengapit mereka di kiri dan kanan.
Sekalipun melepaskan tiga gol
UAE, Azizon Kadir masih dianggap penjaga gol utama dan pemain simpanan, Suffian
Abdul Rahman masih sukar menyainginya.
Sementara itu, penolong
jurulatih Jamaica, Donovan Duckie berkata, pasukannya yang majoriti pemain muda
tetap mahu menang sekalipun ia hanya sebahagian persediaan awal ke Piala Dunia
2010.
Tidak mengapa walau kami kalah
kepada Indonesia 2-1 dan Vietnam 3-0. Lagipun lawan pasukan yang handal. Yang
penting kemenangan dan bagaimana permainan kami (dengan Malaysia) nanti.
Pembangunan pasukan kebangsaan kami bermula di sini, katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uAlkrb4F
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan