Jumaat, 22 September 2017

Zaquan atasi ketumpulan skuad Olimpik



ARKIB : 22/03/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR – Jawapan kepada masalah ketumpulan penyudah skuad bola sepak Olimpik Malaysia yang ketara sejak dua perlawanan pertama dijangka diperoleh dengan kemunculan Zaquan Adha Abdul Razak sejak minggu lalu.

Penyerang muda berusia 20 tahun dari Negeri Sembilan itu disahkan pulih daripada kecederaan lutut yang membelenggunya sekian lama, malah meragut peluangnya beraksi pada Kejohanan Belia Asia di Bangalore, Oktober lalu.

Dia yang berehat panjang selepas menjalani pembedahan turut berpeluang bermain seketika dalam perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan bimbingan Norizan Bakar di Wisma FAM, Kelana Jaya, kelmarin yang berkesudahan seri 1-1.

Ketua pasukan Olimpik, Ahmad Azlan Zainal dan pemain tengah skuad kebangsaan, Nor Farhan Muhammad masing-masing menjaringkan gol itu. Anak buah Norizan akan ke Sri Lanka, hari ini bagi mengadakan dua perlawanan persahabatan, Sabtu dan Isnin ini menjelang Piala Asia.

Zaquan yang juga adik kembar bek tengah Olimpik dan ketua pasukan di Bangalore, Aidil Zafuan Abdul Razak, bergandingan dengan Samransak Kram di barisan depan, sempat menikmati aksi kira-kira 10 minit terakhir permainan.

Jurulatih skuad Olimpik, B. Sathianathan berkata, Zaquan Adha sudah bersedia dari segi fizikal tetapi dia tidak boleh tergesa-gesa diturunkan menentang Hong Kong dalam perlawanan Kumpulan B Kelayakan Olimpik dengan Hong Kong pada 28 Mac ini.

“Dari segi untuk memperoleh semula keyakinan diri, ketahanan mental dan rentak perlawanan yang sebenar, dia masih memerlukan masa,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam, yang memburu kemenangan sulung kelayakan selepas kalah dua kali.

Malaysia masih tanpa sebarang mata dan kemenangan sambil menduduki tangga ketiga kumpulan selepas tewas 1-3 kepada Syria di Damsyik pada 28 Februari lalu dan dibenam Jepun 2-1 di Petaling Jaya, 14 Mac lalu.

Di Damsyik, Malaysia menggunakan penyerang tunggal, Azril Hamid yang menjaringkan gol sagu hati itu manakala gandingan Samransak-Azril digunakan ketika menentang Jepun dengan golnya menerusi Khyril Muhymeen Zambri.

Kata Sathianathan, ada kemungkinan jika bergantung kepada keadaan serta keperluan, Zaquan Adha dapat diturunkan dalam perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Arab Saudi di Stadium Petaling Jaya, hari ini.

“Kami masih perlu memantau keadaan semasa perlawanan itu. Tiada gunanya jika menurunkan Zaquan Adha sepenuh masa permainan sehingga dia tercedera semula dan terpaksa berehat lagi selama berbulan- bulan,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tPfKqtNm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan