ARKIB : 24/01/2007
Oleh: AMRAN MULUP
PENYERANG negara, Mohd.
Nizaruddin Yusuf (kanan) dikepung empat pemain Singapura dalam aksi separuh
akhir pertama Piala AFF di Stadium Shah Alam, malam tadi. Gambar IZHAM
JAAFAR.
SHAH ALAM Tuah bermain di
gelanggang sendiri tidak memihak kepada skuad Malaysia apabila sekadar mencatat
keputusan seri 1-1 bertemu penyandang juara, Singapura dalam saingan separuh
akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Asean di Stadium Shah Alam, semalam.
Kemenangan seolah-olah mengamit
buat Malaysia apabila sepakan lencong kaki kiri Muhammad Hardi Jaafar pada
minit ke-57 menerjah penjuru kanan pintu gol Singapura tetapi penjaring
terbanyak kejohanan, Mohd. Noh Alam Shah memadamkan peluang itu dengan jaringan
penyamaan ketika perlawanan berbaki 17 minit hendak ditamatkan.
Tugas berat kini menanti anak
didik jurulatih Norizan Bakar untuk merealitikan impian layak ke akhir buat
kali kedua selepas 1996 apabila berdepan Singapura pada saingan separuh akhir
kedua di Stadium Nasional, Sabtu ini.
Walaupun peluang Malaysia
tampak sukar bertandang ke tempat lawan hujung minggu ini, namun pujian
seharusnya diberikan kepada kesebelasan utama yang diturunkan kerana
mempamerkan aksi paling menarik yang sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh peminat
bola sepak negara.
Sepanjang tempoh 90 minit babak
berlangsung menyaksikan betapa barisan pemain kebangsaan beraksi mati-matian
dan keputusan seri 1-1 dianggap adil buat kedua-dua pasukan.
Di hadapan kira-kira 35,000
jelas terhibur dengan corak permainan yang cukup menyakinkan dengan penguasaan
penuh milik Malaysia tetapi tuah untuk mengamit kemenangan tidak memihak kepada
kita.
Sebaik babak bermula Malaysia
lebih awal mengasak dan menguasai pentas saingan sepanjang tempoh 15 minit
babak berlangsung sambil Singapura tampak bermain secara bertahan.
Situasi itu membolehkan
gandingan K. Nanthakumar, Muhammad Shukor Adan, Muhammad Hardi Jaafar dan Eddy
Helmi Manan mengemudi bahagian tengah mencipta beberapa peluang buat gandingan
Nizaruddin Yusof dan Hairuddin Omar sering mengucar-kacirkan benteng pertahanan
lawan.
Peluang terbaik hadir milik
Malaysia pada minit ke-25 apabila sepakan percuma Hardi dari jarak 25 meter
memaksa penjaga gol Singapura, Lionell Lewis merebahkan badan menepis keluar
sepakan tersebut.
Asakan tersebut menyemarakkan
semangat anak didik jurulatih Norizan Bakar apa lagi mendapat sokongan
kira-kira 35,000 penonton untuk terus memberi tekanan ke atas pelawat.
Namun serangan pantas Singapura
hampir-hampir mencipta jaringan jika tidak kegopohan penyerang terbanyak
pelawat Mohd. Noh Alam Shah sekadar menyepak lemah walaupun ketika itu berdepan
dengan penjaga gol Malaysia, Mohamad Syamsuri Mustafa pada minit ke-40.
Seminit selepas itu giliran
Malaysia mencipta peluang tetapi dihampakan oleh sepakan liar Muhammad Shukor
ke sebelah kiri tepi gol Singapura.
Buat menambah sengat di jentera
serangan Norizan mengeluarkan penyerang veteran Nizaruddin dan membawa masuk
Sanramsak Kram di babak kedua.
Namun seminit babak kedua
bermula Singapura hampir-hampir memecah kebuntuan jaringan gol namun sepakan
Indra Shahdan Daud tidak menepati saaran walaupun berdepan dengan Mohamad
Syamsuri.
Pada minit ke-55 jaringan awal
nyaris tercipta milik Malaysia tetapi Lewis nyata lebih tangkas menyelamatkan
sepakan Muhammad Shukor di hadapan pintu gol pelawat.
Dua minit selepas itu Stadium
Shah Alam gamat dengan pekikan sorakan penyokong Malaysia apabila Muhammad
Hardi mencipta jaringan tercantik mengejutkan kesebelasan Singapura.
Dari jarak 30 meter Hardi
melepaskan sepakan lencong dari sebelah kiri terus menuju ke penjuru pintu gol
Singapura tanpa dapat diselamatkan oleh Lewis.
Bagaimanapun Singapura berjaya
mengikat kedudukan 1-1 apabila penjaring terbanyak mereka Mohd. Noh Alam Shah
menanduk masuk gol tersebut pada minit ke-73.
Singapura beraksi dengan 10
pemain apabila ketua pasukan Aide Iskandar dilayangkan kad merah oleh pengadil
Wan Da Xue dari China kerana melewat-lewatkan permainan.
MALAYSIA: Mohamad Syamsuri
Mustafa, Mohd. Fauzi Nan, Mohd. Khaironnisam, Norhafiz Misbah Zamani, V.
Thirumurugan, Muhammad Shukor Adan, Hardi Jaafar, K. Nanthakumar, Eddy Helmi
Manan, Hairuddin Omar, Mohd. Nizaruddin Yusof (Saramsak Kram).
SINGAPURA: Lionel Lewis, Aide
Iskandar, Mohd. Isa Abdul Halim, Shi Jia Yi, Indra Shahdan Daud, Mohd. Hafiz
Osman, Daniel Mark Bennett, Mohd. Khairul Amri, Mohd. Noh Rahman, Precious
Emuejeraye, Mohd. Noh Alam Shah
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4spHZlZZs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan