Sabtu, 23 September 2017

FAM cari jurulatih bola sepak negara



ARKIB : 21/04/2007

KUALA LUMPUR – Mutu bola sepak negara yang dianggap sudah nazak kini cuba diatasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan mencari jurulatih-jurulatih baru.

Menerusi laman webnya sejak kelmarin, FAM membuat tawaran kepada rakyat Malaysia yang mempunyai sijil kejurulatihan A, B dan C supaya tampil membuat permohonan.

Tawaran dibuat bagi mengisi lima jawatan ketua jurulatih, lima jawatan penolong jurulatih dan tiga kekosongan untuk jurulatih penjaga gol.

Kesemua jawatan itu adalah untuk membangunkan skuad bawah 13 hingga 17 tahun kebangsaan, dipercayai selepas segala usaha untuk bangkit di peringkat antarabangsa sejak kebelakangan ini makin buntu dan tidak keruan.

Kemerosotan skuad kebangsaan menjadi bualan hangat sejak kebelakangan ini selepas tiada peningkatan ditunjukkan walaupun pelbagai program pembangunan dilakukan sebelum ini.

Sehinggakan kebanyakan peminat bola sepak di negara ini mendesak agar pengurusan FAM yang ada sekarang meletakkan jawatan dan digantikan dengan pemimpin yang baru.

Terbaru skuad Olimpik negara dimalukan pasukan selemah Hong Kong 0-1 dalam perlawanan kelayakan di tempat sendiri.

Semalam, FAM mempelawa pula mereka yang mempunyai sijil A untuk mengisi jawatan pengarah kejurulatihan di setiap negeri.

Terdapat 14 kekosongan perlu diisi untuk jawatan itu sebagai susulan kepada pelancaran program pembangunan terbaru Sukan Teras yang dilihat agenda FAM untuk memperbaiki mutu bola sepak negara.

Tidak perlu menunggu lama kerana calon yang layak akan dipanggil temuduga pada 25 dan 27 April ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tXuHzbgU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan