ARKIB : 04/01/2007
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR Mara ke
perlawanan akhir Kejohanan AFF di Bangkok atau dulunya Piala Tiger yang bermula
12 Januari ini sekali gus memecah tradisi tempat ketiga menjadi sasaran pemain
tengah skuad bola sepak negara, Shukor Adan.
Katanya, sudah begitu kerap
Malaysia cuma terdaya ke separuh akhir dan menduduki tempat ketiga atau keempat
tetapi masih kempunan ke perlawanan akhir sejak kali pertama melakukannya pada
1996.
Kali ini saya mahu membawa
Malaysia ke perlawanan akhir. Mengulangi pencapaian pada 1996 itu juga ibarat
satu azam saya sempena tahun baru 2007, katanya kepada Utusan Malaysia,
semalam.
Pencapaian terbaik Malaysia
dalam kejohanan ini ialah bergelar naib juara edisi sulung di Singapura pada
1996. Ketika itu mereka yang dibarisi Zainal Abidin Hassan, K. Sanbagamaran dan
Shamsurin Rahman, dibimbing oleh Wan Jamak Wan Hassan.
Tanpa skuad kebangsaan yang
dibubarkan kerana aib Sukan SEA Jakarta 1997 dan digantikan oleh skuad Olimpik
2000 bimbingan Hatem Souissi, Malaysia terkandas dalam peringkat kumpulan lagi
pada 1998 setelah cuma seri sekali dan kalah dua kali.
Abdul Rahman Ibrahim
bagaimanapun mengembalikan maruah Malaysia di Songkhla dan Bangkok dengan
khidmat Azman Adnan, Hairuddin Omar dan Anuar Jusoh apabila menduduki tempat
ketiga pada Piala Tiger 2000.
Di bawah Alan Harris pada 2002,
Malaysia menduduki tempat keempat sekalipun sempat mengejutkan Thailand dan
membelasah Singapura di peringkat kumpulan. Dalam edisi 2004-2005, skuad negara
bimbingan Bertalan Bicskei dari Hungary, sekali lagi meraih tempat ketiga.
Shukor yang kini bersama 22
pelatih lain, masih bersaing merebut 20 tempat terakhir dalam skuad negara yang
bakal berentap dengan Thailand, Myanmar dan Filipina dalam Kumpulan A. Kumpulan
B dianggotai juara bertahan, Singapura, Vietnam, Laos dan Indonesia.
Dilatih oleh Norizan Bakar,
ketua pasukan Selangor ini memburu penampilan kedua ke Kejohanan AFF selepas
disekat oleh Indonesia dengan agregat 5-3 pada separuh akhir di Kuala Lumpur
pada 2004-2005.
Shukor yang kali terakhir
mewakili negara pada Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi 2005, menyifatkan
Myanmar sebagai pasukan yang semakin meningkat manakala Thailand mungkin
mempertaruhkan ramai pemain skuad Sukan Asia Doha yang mara ke suku akhir,
bulan lalu.
Myanmar merangkul trofi
Pestabola Merdeka di Shah Alam, Ogos lalu dan menambahnya dengan Piala Cabaran
Grand Royal, baru-baru ini. Tuan rumah pula yang diperkuatkan semula wira Piala
Tiger 1996, Kiatisuk Senamuang, baru sahaja menjuarai Piala Raja Thai.
Saya kurang pasti tentang
sejauh mana kemampuan Filipina kerana telah lama tidak menentang mereka. Kami
menewaskan mereka 4-1 dalam Piala Tiger 2004-2005 di Kuala Lumpur tetapi siapa
pun lawannya, kami tetap janjikan tentangan yang terbaik kali ini, katanya.
Filipina yang dibimbing Ariston
Caslib dan muncul naib juara kelayakan, November lalu, dikatakan memiliki trio
pemain kelahiran asing, Alex Borromeo dan Philip serta James Younghusband yang
diambil dari skuad Akademi Remaja Chelsea.
Shukor bagaimanapun agak
keberatan sekiranya diserahkan peranan ketua pasukan ke Bangkok oleh Norizan
yang setakat ini masih menilai sekurang-kurangnya lima calon yang layak di
kalangan pemain senior dan paling berpengalaman antarabangsa.
Ada ramai lagi yang lebih layak
untuk jadi ketua pasukan, katanya yang menerajui Selangor selama lima musim
sejak 2003 dan mengumpul tiga trofi sekali gus - Piala Liga Perdana, Piala FA
dan Piala Malaysia, dua tahun kemudian.
Calon yang turut dinilai
Norizan ketika ini ialah Norhafiz Zamani Misbah, Kaironnisam Sahabuddin
Hussain, Hairuddin Omar dan Fadzli Saari berdasarkan prestasi perlawanan
persahabatan menentang New Zealand, Singapura, Pestabola Merdeka dan Sukan Asia
sepanjang tahun lalu.
Beberapa pemain pernah menjadi
ketua pasukan skuad negara jadi tidak mudah untuk memilihnya sekarang tetapi
saya yakin, orang yang menyarung lilitan lengan itu mestilah selesa dengan
tugas tersebut dan dihormati oleh rakan sepasukan, kata Norizan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4sMcENy1o
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan