Rabu, 22 Jun 2016

New Caledonia tetap dianggap ancaman

AFDAH MUJAP
22 JUN 2016 
New Caledonia tetap dianggap ancaman Kim Swee
PENGENDALI Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee tidak sesekali memandang mudah cabaran New Caledonia menjelang aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Numa-Daly Magenta, Noumea, petang ini.

Malaysia menghuni tangga ke-173 manakala New Caledonia berada di kedudukan 183 dunia dalam senarai ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Namun bagi Kim Swee, beliau tetap menganggap New Caledonia mampu menghadirkan ancaman selain percaya pasukan itu mempunyai kelebihan tersendiri.

Justeru, Kim Swee berkata skuad negara perlu mengubah pendekatan bagi memastikan kemenangan sulung diraih dalam aksi kedua siri Jelajah Oceania 2016.

"New Caledonia pasukan yang bagus dan saya percaya kami akan berdepan corak permainan sama seperti bertemu Papua New Guinea, tempoh hari.

"Sudah tentu ia bakal menjadi perlawanan yang sukar ditambah pula kelebihan berpihak kepada New Caledonia yang beraksi di laman sendiri.

"Apa pun, kami akan tampil dengan barisan terbaik untuk kutip kemenangan," ujar Kim Swee.

Pada masa sama, Kim Swee akui beliau mahu menerapkan corak permainan berbeza ketika bertemu New Caledonia nanti.

"Corak permainan Malaysia bergantung kepada lawan dan situasi. Kalau perlu ubah, saya ubah," katanya.

Sementara itu, ketua pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak menggesa rakan sepasukan bangkit daripada kekalahan kepada Papua New Guinea, Jumaat lalu.

"Ini perlawanan yang penting buat kami dan sudah tentu kami mahu menang.

"Jadi, saya menuntut keserasian daripada rakan sepasukan dalam perlawanan esok (hari ini)," katanya.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 22.6.2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan