Isnin, 6 Jun 2016

Fazly aset skuad negara

Rizar Mohd Noor -rizar@hmetro.com.my
Pasir Gudang: Prestasi konsisten Muhd Fazly Mazlan yang beraksi di posisi bek kiri bakal menjadi aset berharga Harimau Malaysia apabila berdepan Timor Leste pada aksi kedua play-off Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Larkin, malam esok.

Dia yang menjadi pencetus gerakan bagi menghasilkan dua jaringan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu pada perlawanan pertama lalu tidak menafikan betapa pergerakannya pada aksi kedua akan lebih sukar kerana benteng pertahanan Timor Leste yang dibimbing Fabio Maciel pasti akan memberi lebih tumpuan kepadanya.

“Saya dapat rasa kemungkinan tugas untuk membantu sayap kanan tampak agak terbatas apabila pemain pertahanan Timor Leste pasti lebih berwaspada dan cuba untuk menyekat larian saya nanti.

“Namun saya akan mengikut apa juga arahan taktikal ketua jurulatih apabila turun beraksi nanti kerana kita mahukan kemenangan kedua dan bukan sekadar berpuas hati dengan keputusan 3-0 ketika menang Khamis lalu.

“Sasaran tetap diletakkan walaupun kali ini kita turun selaku pasukan pelawat namun Stadium Larkin sudah menjadi kebiasaan buat saya dan rakan sepasukan dan kami tetap akan turun beraksi dengan semangat ini rumah kami dan ini tanah tumpah darah kami’,” katanya, semalam.

Fazly juga menegaskan walaupun sebelah kaki sudah layak ke pusingan kelayakan kumpulan namun dia tidak mahu terlalu selesa sebaliknya tetap ingin memberi sepenuh komitmen dengan mempamerkan aksi konsisten bagi menidakkan penguasaan Timor Leste.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:08 AM

FAZLY

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan