Rabu, 8 Jun 2016

Piala Asia: Harimau Malaysia mara ke pusingan kelayakan ketiga

MUHAMMAD FAIZAL HASHIM  |  07 Jun 2016 12:02 AM

Pemain Malaysia , Mohd. Azrif Nasrulhaq (no. 20) dikawal ketat dua pemain pasukan Timor Leste pada perlawanan playoff kedua kelayakan Piala Asia 2019 di antara Malaysia dengan Timor Leste di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini, malam tadi. UTUSAN/MOHD. HAZROL ZAINAL

JOHOR BAHRU 7 Jun - Harimau Malaysia tidak berdepan tugas sukar untuk menewaskan Timor Leste 3-0 sekali gus memastikan skuad kebangsaan menempah tiket ke saingan peringkat kumpulan pusingan kelayakan ketiga Piala Asia 2019.
Kemenangan dalam aksi kedua perlawanan playoff di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi menyaksikan skuad kebangsaan mara ke peringkat kelayakan terakhir Piala Asia dengan agregat 6-0.
Gol pertama Malaysia diperolehi hasil jaringan pemain sayap Melaka United, Khair Jones yang membuat penampilan pertamanya bersama Harimau Malaysia.
Gerakan yang diilhamkan oleh S. Kunanlan dari sayap kanan dengan melakukan hantaran kepada Ahmad Hazwan Bakri sebelum menolak kepada Khair yang melepaskan rembatan menerjah jaring gawang lawan pada minit ke-15.
Malaysia menambah jaringan pada babak kedua perlawanan menerusi Ahmad Hazwan yang menanduk masuk hantaran Mohd. Azrif Nasrulhaq dari sayap kanan pada minit ke-57.
S. Chanturu yang dibawa masuk menggantikan Khair pada awal babak kedua menambah derita Timor Leste apabila meledak gol ketiga setelah menyempurnakan hantaran silang rakan sepasukan di Johor Darul Ta'zim (JDT), Kunanlan yang gagal diselamatkan penjaga gawang Ramos Sauzinho pada minit ke-68.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dijangka akan bersaing di peringkat kelayakan seterusnya pada 28 Mac tahun depan.
Selain pasukan tuan rumah, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), pasukan yang layak ke Piala Asia 2019 ialah Qatar, Korea Selatan, Jepun, Iran, Iraq, Syria, Australia, Uzbekistan, Arab Saudi, China dan wakil tunggal Asia Tenggara, Thailand. - UTUSAN ONLINE

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/piala-asia-harimau-malaysia-mara-ke-pusingan-kelayakan-ketiga-1.339406#sthash.RKQUnscC.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan