Isnin, 20 Jun 2016

Skuad Projek sekadar seri aksi persahabatan di Jepun

20 Jun 2016 4:49 PM
B-22
B-22
SKUAD Projek negara kini berada di Jepun bagi mengadakan perlawanan persahabatan menentang beberapa kelab di sana. - Foto: FAM
KUALA LUMPUR 20 Jun - Skuad bawah 22 (B-22) negara mencatat keputusan seri 3-3 pada aksi persahabatan sulung menentang kelab Divisyen Dua Jepun, Machida Zelvia FC di Stadium Atletik Machida, Tokyo, hari ini.
Tiga gol pasukan B-22 negara, yang turut dikenali sebagai skuad Projek Sukan SEA 2017 dijaringkan penyerang Muhamad Arif Mohamed Anwar pada minit ketujuh, ketua pasukan Mohamad Faris Shah Mohd Rosli menerusi sepakan penalti pada minit ke-35 dan penyerang Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew pada minit ke-79.
Tiga gol pasukan tuan rumah kendalian Naoki Soma, disumbangkan Ryuto Otake pada minit keempat, Kentaro Shigematsu (55) dan Yuya Nakamura (81).
Ketua jurulatih skuad B-22 negara, Frank Bernhardt menyifatkan keputusan seri itu adalah baik, namun menegaskan pemain perlu bekerja keras bagi menghadapi kelab Divisyen Satu Jepun, Shonan Bellmare di Padang Latihan Shonan, Kanagawa pada Rabu ini.
"Machida Zelvia FC merupakan pasukan yang kuat dan mempunyai corak permainan pantas. Selepas permulaan permainan agak sukar, pemain berjaya mempamerkan persembahan yang baik.
"Sayang sekali, pasukan kita tidak berjaya mengekalkan kedudukan sekalipun mendahului 2-1 dan 3-2. Bagaimanapun, daripada kualiti pasukan lawan kita hari ini, bagi saya keputusan seri ini adalah keputusan yang baik," kata Bernhardt seperti dipetik menerusi laman web Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.
Skuad B-22 negara sepatutnya berdepan kelab Divisyen Satu Jepun, Yokohama FC pada aksi persahabatan sulung di Padang Latihan Yokohama FC pada 13 Jun lepas, namun terpaksa dibatalkan susulan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Skuad berkenaan yang berada di Chiba, Jepun untuk sesi latihan dan aksi persahabatan sejak 10 Jun lepas, dijangka kembali ke tanah air pada 28 Jun ini. - BERNAMA

- Sumber-: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/skuad-projek-sekadar-seri-aksi-persahabatan-di-jepun-1.344976#sthash.1mgIzUAp.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan