Jumaat, 17 Jun 2016

Harimau Malaysia dimalukan Papua New Guinea

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
18 JUN 2016
 Harimau Malaysia dimalukan Papua New Guinea
Harimau Malaysia dimalukan Papua New Guinea
SKUAD Harimau Malaysia memulakan siri Jelajah Oceania 2016 dengan langkah sumbang apabila tewas 0-2 kepada Papua New Guinea (PNG) di Stadium Sir John Guise, Port Moresby, semalam.

Dalam perlawanan itu, perjudian Datuk Ong Kim Swee menurunkan penjaga gol muda negara, Farhan Abu Bakar sebagai benteng terakhir nyata membawa padah apabila gawang negara dibolosi dengan mudah pada babak pertama.

Kedua-dua gol Papua hadir menerusi penyerangnya, Tommy Semmy masing-masing pada m-35 dan m-42.

Pemain negara cuba bangkit selepas ketinggalan dua gol dengan Kim Swee mengubah percaturan apabila melakukan lima pertukaran pada babak kedua dengan menurunkan tonggak utama iaitu S Kunanlan, Fazly Mazlan, Amirulhadi Zainal, S Chanthuru dan Christie Jayaseelan.

Namun, Malaysia yang menduduki ranking ke-173 dunia berbanding Papua 193) semakin tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada m-66 apabila Shahrom Kalam mengalami kecederaan ketika pertukaran pemain sudah tidak boleh dilakukan oleh pelawat.

Pengendali kebangsaan, Kim Swee menganggap sikap ambil mudah pemain selepas menang ke atas Timor Leste tempoh hari antara faktor kekalahan itu.

“Papua menunjukkan peningkatan dan mereka bermain sangat baik, malah mereka tidak memberi ruang kita bergerak ke hadapan dengan memberi tekanan dari awal hingga ke akhir.

“Tapi apa yang mengecewakan saya adalah sikap pemain yang diturunkan tidak menunjukkan karakter sebenar malah tidak membantu antara satu sama lain.

“Kita juga lihat apabila kita berjaya menewaskan Timor Leste sebanyak dua kali dan selepas itu, beberapa pemain antaranya telah bersikap ambil mudah. Ini faktor yang perlu saya teliti selain perkemas permainan yang lebih baik,” katanya.

Harimau Malaysia akan meneruskan siri Jelajah Oceania 2016 dengan menentang New Caledonia di Noumea pada 22 Jun dan Fiji di Nadi pada 26 Jun.

Sumber-Sinar Harian online 18 JUN 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan