AFDAH MUJAP FOTO: FAM
25 JUN 2016
Harimau tak cukup taring
MASIH kedengaran suara sumbang
di sebalik kemenangan Harimau Malaysia ke atas New Caledonia, pada aksi kedua
siri Jelajah Ocenia 2016 di Noumea, Rabu lalu.
Ini kerana, anak buah Datuk Ong
Kim Swee sekadar melakar kemenangan tipis
2-1. Ia dianggap sebagai satu keputusan ‘cukup makan’ kerana tuan rumah
sebenarnya berada di ranking lebih rendah (183) berbanding Malaysia (173).
Justeru, tanggapan awal peminat
yang ingin menyaksikan Harimau Malaysia menang dengan margin gol yang cukup
besar, meleset sama sekali.
Peminat (menerusi pemerhatian
di Facebook FAM) juga menganggap ia bukanlah keputusan yang bolah dibanggakan
kerana realitinya, skuad negara dipaksa bekerja keras sebelum meraih
kemenangan.
Malah, ada juga yang
mempersoalkan kewajaran siri jelajah tersebut, kerana pasukan yang ditentang
kurang gah dan dinilai tidak memberi apa-apa pulangan buat skuad kebangsaan.
Dalam perlawanan di Stadium
Numa-Daly Magenta, Rabu lalu, New Caledonia terlebih dahulu mengejutkan
Malaysia di babak pertama sebelum dua jaringan daripada Amirulhadi Zainal dan
Baddrol Bakhtiar di babak kedua, menyelamatkan maruah negara.
Apapun, kemenangan sulung dalam
siri Jelajah Ocenia 2016 itu mengubati sedikit kekecewaan peminat bola sepak
tanah air selepas Malaysia dimalukan Papua New Guinea 0-2, minggu lalu.
Kurang agresif
Mengulas aksi bertemu New
Caledonia, Kim Swee akui pemainnya kurang memberi tekanan kepada lawan.
“Pemain bangkit pada babak
kedua selepas mereka tahu pada separuh masa pertama, New Caledonia tidak memberi
banyak ruang kepada kita.
“Jadi ketika waktu rehat, saya
beritahu pemain supaya mereka perlu lebih agresif dan cepat bergerak ke
hadapan.
“Terbukti ia membawa banyak
perubahan dan kita berjaya mendapatkan dua gol yang cukup baik daripada
Amirulhadi dan sepakan percuma Baddrol.
“Seperti saya katakan kepada
mereka sewaktu rehat, New Caledonia, Papua New Guinea mahu pun Fiji yang akan
kita hadapi selepas ini, mereka merupakan satu pasukan yang cukup baik bukan
saja dari segi tubuh fizikal besar dan kekuatan tetapi turut mempunyai kelajuan,”
katanya.
Alih fokus
Sementara itu, Kim Swee mahu
pemainnya terus fokus dan mengalih tumpuan kepada perlawanan terakhir siri
Jelajah Oceania bertemu Fiji, esok.
Menurutnya, keadaan padang yang
kurang baik di Stadium Prince Charles Park di Nadi, Fiji juga tidak harus
dijadikan alasan untuk pemain skuad Harimau Malaysia beraksi sambil lewa.
Katanya lagi, selain keadaan
padang tidak begitu baik, pemain juga perlu berdepan cuaca panas memandangkan
mereka akan beraksi pada 2 petang waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia).
“Ini cabaran kepada semua
pemain, jadi saya harap mereka mampu membuktikan ia bukan satu masalah untuk
kita mendapat keputusan yang baik,” katanya.
Kim Swee berkata, skuad
kebangsaan terpaksa beraksi pada waktu petang berikutan negara berkenaan tidak
mempunyai kemudahan bola sepak mencukupi terutama ketiadaan lampu limpah di
hampir kesemua stadium di negara tersebut.
“Saya juga difahamkan keadaan
cuaca dijangka bertambah gelap lebih awal, dalam 5 petang di sini, jadi mereka terpaksa
mengadakan perlawanan lebih awal supaya perlawanan ini tidak terganggu,”
katanya.
Beri peluang
Dalam pada itu, Kim Swee tidak
menolak kemungkinan untuk menurunkan beberapa pemain yang tidak beraksi pada
dua perlawanan terdahulu antaranya pemain Pulau Pinang, S Kumaahran dan pemain
Kedah, Muhd Amirul Hisyam Awang Kechik.
Pada masa sama, beliau turut
memaklumkan tiga pemain dijangka tidak dapat diturunkan pada aksi berdepan Fiji
kerana masih belum pulih daripada kecederaan.
Mereka ialah kapten Selangor,
Muhd Shahrom Abdul Kalam; pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Abdul Latiff
Suhaimi dan penyerang Johor Darul Ta’zim II, Muhd Zaquan Adha Abdul Radzak.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE
25.6.2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan