Akhiri siri Jelajah Oceania dengan keputusan seri
27 Jun 2016 12:12 AM
PENYERANG veteran, Amri Yahyah (dua dari kanan) meledakkan gol tunggal skuad negara pada minit ke-41 menerusi rembatan kencangnya selepas menerima hantaran S. Chanthuru dalam aksi persahabatan menentang Fiji di Nadi, semalam.
KUALA LUMPUR 26 Jun - Di sebalik kegagalan mencapai objektif meraih tiga kemenangan dalam aksi persahabatan kelas A Siri Jelajah Oceania, pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee masih mampu melihat pencapaian anak-anak buahnya itu dari sisi positif setelah mendapat gambaran jelas terhadap potensi para pemainnya.
Hari ini, skuad negara diikat Fiji dengan keputusan seri 1-1 pada perlawanan terakhir siri jelajah tersebut dan dua lagi aksi sebelum ini menyaksikan Harimau Malaysia tewas mengejut 0-2 di tangan pasukan ranking ke-193, Papua New Guinea dan meraih kemenangan 2-1 ke atas New Caledonia yang menghuni ranking ke-183 dunia.
“Dalam tiga perlawanan ini, saya percaya yang saya telah menggunakan kesemua pemain dan ini memberi saya satu situasi di mana saya perlu menilai keseluruhan pasukan dan individu-individu tertentu.
“Sudah tentu objektif kita untuk mendapatkan semua kemenangan tidak tercapai, tetapi saya percaya dengan keputusan satu seri, menang dan kalah ini memberi pandangan yang cukup luas untuk saya menganalisis pasukan sebelum saya memanggil semua pemain pada September nanti,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Malah, jurulatih kelahiran Melaka itu turut memuji aksi yang dipamerkan anak didiknya ketika perlawanan persahabatan terakhir menentang Fiji yang menyaksikan skuad negara seri 1-1, biarpun bermain dalam keadaan cuaca panas dan permukaan padang yang kurang baik.
“Satu keadaan yang sukar untuk bermain tetapi para pemain membuktikan mereka mampu mengadaptasikan suasana perlawanan terutama dengan keadaan cuaca yang panas dan padang yang kurang baik.
“Kita gagal mempertahankan gol pendahuluan di mana beberapa faktor perlu kita lihat. Tapi saya percaya semua pemain sudah memberikan yang terbaik dalam keadaan sukar ini.
“Dalam bola sepak memang begini, apabila kita gagal menyempurnakan peluang-peluang terhidang, tetapi pasukan lawan mengambil kesempatan terutama Roy Krishna yang beraksi di Liga Australia yang mempunyai teknik cukup bagus, apabila kita beri ruang, mereka dapat menjaringkan gol,” ujarnya.
Dalam perlawanan itu, pasukan negara terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain veteran, Amri Yahyah pada minit ke-41 menerusi rembatan kencangnya selepas menerima hantaran daripada S. Chanthuru sebelum penyerang tuan rumah, Losefo Verevou menyamakan kedudukan pada minit ke-72.
Mengulas mengenai mutu pengadilan, Kim Swee menerima dengan sikap profesional biarpun beberapa kali kecewa dengan keputusan yang diputuskan pengadil perlawanan yang dilihat lebih memihak kepada tuan rumah.
“Tentang mutu pengadilan, kita kena faham, apabila bermain di tempat lawan terutama berdepan pasukan tuan rumah, ini yang akan berlaku. Kita harus belajar, bukan saja saya tetapi para pemain kena tahu jika bermain di tempat lawan, kita kena terima apa juga keputusan dan apa juga yang disediakan pihak lawan.” tegasnya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-malaysia-diikat-fiji-1.347363#sthash.lukYGtZm.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan