Sabtu, 25 Jun 2016

Aidil yakin Malaysia mampu atasi Fiji

25 JUN 2016 
Harimau Malaya
KEADAAN padang dan cuaca panas tidak menjadi halangan utama untuk skuad Harimau Malaysia memburu kemenangan kedua berdepan Fiji pada perlawanan persahabatan terakhir Jelajah Oceania di Stadium Prince Charles Park, Nadi, Fiji, esok.

Kapten skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak berkata, walaupun mereka terpaksa berdepan dengan situasi sedemikian, beliau yakin rakan sepasukan mampu menampilkan aksi cemerlang berdepan pasukan ranking ke-186 dunia itu.

"Kita sudah bersedia untuk aksi esok selepas menjalani latihan selama dua hari dan saya mengharapkan rakan sepasukan dapat memanfaatkan taktikal yang diberikan jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) sepanjang tempoh latihan diadakan," katanya dalam satu temu bual selepas latihan singkat skuad kebangsaan di Fiji, hari ini.

"Berdepan pemain muda Fiji dengan keadaan cuaca panas bukan satu tugas mudah namun saya dan rakan sepasukan lebih fokus kepada taktikal permainan dan saya lihat para pemain amat bersemangat untuk aksi menentang Fiji," kata pertahanan tengah Johor Darul Ta'zim itu.

Rakaman audio temubual berkenaan diperoleh Bernama daripada pegawai media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malaysia yang berada di ranking ke-173 dunia menerima kecaman hebat daripada peminat bola sepak negara sebelum ini, setelah kalah mengejut 0-2 kepada pasukan ranking ke-193 dunia, Papua New Guinea di Stadium Sir John Guise, Port Moresby, Jumaat lepas.

Skuad negara, bagaimanapun bangkit mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan ranking ke-183 dunia, New Caledonia di Stadium Numa-Daly Magenta, Noumea, New Caledonia, Rabu lepas. - Bernama

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 25 JUN 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan