Aziman Rosdi -aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaysia tewas 0-2 di tangan Papua New Guinea dalam aksi persahabatan antarabangsa siri Jelajah Oceania 2016 di Stadium Sir John Guise, Port Moresby, hari ini.
Dalam perlawanan itu anak buah Datuk Ong Kim Swee cuba bangkit selepas ketinggalan dua gol pada babak pertama menerusi jaringan Tommy Semmy pada minit ke-35 dan 42.
Separuh masa kedua Kim Swee mengubah percaturan dengan melakukan enam pertukaran termasuk menurunkan tonggak utama iaitu S Kunanlan, Fazly Mazlan, Amirulhadi Zainal, S Chanthuru dan Christie Jayaseelan.
Namun Malaysia yang menduduki ranking ke-173 dunia berbanding Papua New Guinea (193) semakin tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-66 apabila Shahrom Kalam mengalami kecederaan ketika pertukaran pemain sudah tidak boleh dilakukan oleh Kim Swee.
Biarpun kekurangan pemain skuad kebangsaan terus mengasak namun percubaan Christie sekadar singgah di tiang gol pada minit ke-82.
Harimau Malaysia akan meneruskan siri Jelajah Oceania 2016 dengan menentang New Caledonia di Noumea pada 22 Jun dan Fiji di Nadi pada 26 Jun.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 5:05 PM
Kesebelasan Malaysia sebelum menentang Papua New Guinea. FOTO FAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan